KUALA NERUS – Seorang peniaga kedai makan yang sebelum ini merupakan asnaf dan penerima zakat mengambil inisiatif menghulurkan barangan keperluan percuma kepada golongan memerlukan sejak seminggu lalu.
Haslinda Wahab, 40, berkata, inisiatif membuka Pondok Sedekah itu adalah sebagai tanda kesyukuran selepas dia berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan berkat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya pernah merasai kesusahan kehidupan sewaktu bergelar ibu tunggal selama 13 tahun sehingga menerima zakat dan bantuan daripada Maidam dan JKM.
“Kehidupan saya mula berubah apabila membuka kedai makan dengan pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Selepas itu, rezeki saya terus murah apabila bertemu jodoh dengan suami pada tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Maras di sini semalam.
Haslinda berkata, beliau menyediakan barangan keperluan seperti beras lima kilogram, minuman coklat, kicap, minyak, biskut, mi segera dan susu formula bayi di Pondok Sedekah berkenaan.
Ibu kepada empat anak itu berkata, kesemua barangan keperluan tersebut boleh diambil secara percuma oleh golongan memerlukan.