KUALA LUMPUR – Seramai 6,000 peserta bakal menyertai edisi kelapan RHB Lekas Highway Ride 2023 pada Sabtu ini, sekali gus menjadikannya jumlah penyertaan paling ramai sejak acara berbasikal itu dianjurkan.
Penganjuran kayuhan berbasikal lebuh raya No.1 di sebelah malam itu, kali ini berjaya menarik penyertaan 28 negara termasuk Perancis, Jerman, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia dan Amerika Syarikat (AS).
Sebanyak empat kategori ditawarkan pada edisi kali ini iaitu 120 kilometer (km), 78km, 22km dan 12km pada saingan yang akan bermula di Plaza Tol Kajang Selatan dan berakhir di Lekas Highway E21.
Pihak penganjur turut memperkenalkan kategori baharu membabitkan wanita veteran 78km dan penyertaan penuh inspirasi 20 Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam kategori 22km.
“Perbezaan paling ketara untuk tahun ini adalah jumlah penyertaan paling ramai. Keduanya, kami tidak mahu mana-mana pihak tercicir, sebab itu kami menjemput golongan OKU bersama-sama memeriahkan penganjuran.
“Kami juga memperkenalkan sesi pushbike untuk kanak-kanak menjadikan RHB Lekas Highway Ride sebagai acara yang boleh disertai oleh semua golongan.
“Ada banyak acara berbasikal dianjurkan di negara ini tetapi saya boleh katakan RHB Lekas Highway Ride adalah penganjuran acara berbasikal yang lebih baik,” kata Pengarah Perlumbaan Gosportz Sdn Bhd, Albertt Leong KC.
RHB Lekas Highway Ride 2023 menawarkan acara berbasikal di lebuh raya yang tertutup dengan persekitaran yang selamat serta mempromosikan gaya hidup sihat.
Ia adalah acara anjuran bersama RHB Banking Group (RHB) dan Lekas, yang merupakan anak syarikat kepada IJM Corporation Berhad.
Selain pengalaman mengayuh basikal, peserta juga berpeluang untuk mencuba menjamu juadah yang ditawarkan, antaranya Sate Kajang Hj Samuri serta pelbagai jenis kuih tempatan. Terdapat juga persembahan kebudayaan seperti tarian Melayu dan Cina serta persembahan kumpulan busker.
Untuk melancarkan penganjuran kayuhan berbasikal itu, laluan sepanjang lebuh raya Lekas akan ditutup bermula pukul 5 petang 21 Oktober sehingga 4 pagi 22 Oktober. – KOSMO! ONLINE