fbpx

Tinggal rokok seludup RM1.28 juta, elak sekatan jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazli (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup bernilai keseluruhan lebih RM1.28 juta di IPD Besut hari ini.

BESUT – Gara-gara terserempak dengan sekatan jalan raya, anggota sindiket nekad meninggalkan sebuah lori padat dengan rokok disyaki diseludup bernilai keseluruhan lebih RM1.28 juta di tepi jalan berhampiran Kampung Pachakan, Kuala Besut pada Ahad lalu.

Pemeriksaan terhadap lori tersebut pada pukul 12 tengah hari menjumpai 760,000 batang rokok jenama terkenal yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, anggota polis bertugas telah menjumpai lori mencurigakan itu yang disyaki sengaja ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan di sempadan daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan pada pukul 9 pagi.

“Intipan dan pemerhatian telah dilakukan selama tiga jam sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap lori terbabit.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan berat tersebut mengandungi 76 peti berisi 50 karton rokok putih dipercayai diseludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.

Mazli berkata, siasatan awal percaya anggota sindiket sengaja meninggalkan lori tersebut di tepi jalan bagi mengelak terperangkap dalam sekatan jalan raya.

Tambah beliau, pihaknya percaya rokok jenama terkenal yang diseludup masuk dari negara jiran tersebut sedang dibawa untuk pasaran Lembah Klang atau selatan tanah air.

“Kita memang sentiasa memantau aktiviti penyeludupan termasuk rokok kerana daerah ini sering dijadikan transit setelah barangan seludup terbabit dibawa masuk dari negara jiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI