KUALA LUMPUR – Air muka pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada sidang media sudah menggambarkan perasaan jurulatih itu yang tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas tewas 2-0 kepada Tajikistan di final Pestabola Merdeka, semalam.
Sambil mengakui harapan tinggi yang diletakkan terhadap anak buahnya untuk menoktahkan kejuaraan, Pan-gon tetap bangga dengan komitmen pemain untuk menyekat trofi ini ‘terbang’ ke bumi Tajikistan.
“Saya sudah katakan yang suatu hari kami pasti akan kalah dan semua orang boleh melakukan kesilapan. Jadi daripada sini kita dapat belajar sesuatu untuk jadi lebih baik.
“Harapan cukup tinggi, saya minta maaf kepada Malaysia kerana gagal menghadirkan kemenangan. Saya tetap bangga dengan pemain kerana kita lawan pasukan di ranking 110 namun masih mampu kawal permainan,” katanya.
Ia adalah kekalahan kedua Harimau Malaya di tangan Tajikistan selepas gagal julang Piala Raja Thai, tahun lalu.
Pada perlawanan yang disaksikan 36,558 penonton, semalam, Tajikistan memperoleh dua gol menerusi Soirov Rustam dan Samiev Shahrom. – KOSMO! ONLINE