PETALING JAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh meluahkan kebimbangan beliau terhadap situasi terkini yang semakin meruncing di Gaza.
Katanya, ketika ini negara-negara Islam seluruh dunia seharusnya bersatu dan membantu rakyat di Gaza yang ditindas dan dinafikan hak berada di tanah air mereka.
“Sampai bila? Sudah tiba negara Islam seluruh dunia bersatu padu dan bangkit membantu mereka. 75 tahun berlalu, mereka tetap terus dinafikan hak dan terus menerus ditindas.
“Di manakah pemimpin seperti Salehudin Al Ayubi? Muhammad Al Fateh? Khalid Al Walid? Cukup cukuplah mereka ini disiksa di tanah air mereka sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Terbaharu serangan pengeboman Hospital Al-Ahli al-Arabi di utara Semenanjung Gaza, malam tadi mengorbankan lebih 500 nyawa apabila hospital itu dipercayai menjadi tempat beribu pelarian Palestin mencari perlindungan di Gaza.
Sehingga hari ini sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak Hamas melakukan serangan mengejut pada 7 Oktober di Israel yang telah membunuh lebih daripada 1,400 orang. – KOSMO! ONLINE