fbpx

Mahkamah: Lelaki dipenjara seumur hidup edar kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Irsyad dibawa polis selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang wanita menangis syukur apabila suaminya tidak dihukum gantung sebaliknya dipenjara seumur hidup dan 15 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 495.2 gram, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Dr. Suzana Muhamad Said selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Muhammad Irsyad Adzha, 33, di akhir kes pembelaan.

Muhammad Irsyad yang bekerja sendiri itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 495.2 gram (g) di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi pada pukul 6 petang, 11 Februari 2020.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, bapa kepada seorang anak itu boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Terdahulu, isteri tertuduh yang berusia 30an itu didapati keluar dari galeri mahkamah dalam keadaan menangis teresak-esak kuat selepas suaminya didapati bersalah atas kesalahannya.

Dia bagaimanapun memasuki semula bagi mendengar prosiding dan bersyukur sebelum menangis kembali dan diberikan kesempatan bertemu suaminya itu.

Pada prosiding mitigasi, Peguam Datuk Naran Singh memaklumkan bahawa ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Katanya, tertuduh yang telah berkahwin juga mempunyai seorang anak yang masih kecil.

“Walaupun budi bicara (mahkamah) diberikan namun harus melihat pada kes. Tertuduh pun masih muda, bagilah peluang kepadanya. Sebelum ini ada kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan tertuduh terus mengaku bersalah tanpa melalui perbicaraan dan dijatuhi penjara 30 tahun dan sebatan.

“Lihat pada jenis dan berat dadah, lagipun ini adalah kesalahan pertama takkan nak gantung. Tidak logik,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail menegaskan, kesalahan dilakukan tertuduh bukan pemilikan sebaliknya pengedaran dengan hukuman akan dijatuhi melambangkan keseriusan membanteras kegiatan dadah.

Malah katanya, negara maju di rantau Asia Tenggara seperti Singapura sekalipun masih mensabitkan hukuman gantung bagi kesalahan mengedar dadah ini.

“Pertuduhan dihadapi tertuduh adalah berat dan harap mahkamah dapat memberikan mesej atau amaran keras kepada masyarakat.

“Sesiapa terlibat dalam pengedaran dadah tidak harus diberi muka. Mohon jatuh hukuman gantung supaya tidak bertolak ansur dengan penjenayah begini.Sesungguhnya dadah adalah musuh utama negara,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula 5 Mac lalu sebanyak sembilan saksi pendakwaan dikemukakan manakala tertuduh memberikan keterangan di kandang saksi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI