BANDAR GAZA – Protes anti-Israel besar-besaran meletus di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara hari ini, ketika pemimpin-pemimpin negara Arab mengecam pengeboman Hospital Ahli Arab di Gaza yang mengorbankan sekurang-kuranya 500 orang, lapor saluran berita CNN.
Beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Jordan, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Iraq mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel serta menyatakan bahawa askar Zionis mengebom hospital berkenaan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang melaung slogan anti-Israel pula berkumpul di Lebanon, Iraq, Iran, Jordan, Kuwait, Mesir dan Tunisia.
Ada antara mereka yang melakukan tunjuk perasaan berhampiran Kedutaan Israel, Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.
Beberapa protes turut tercetus di Ramallah, Tebing Barat.
Di Istanbul, pasukan keselamatan Turkiye terpaksa menggunakan meriam air dan semburan lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berjaya lolos ke kawasan di mana terletaknya konsulat Israel. – AGENSI