WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meluahkan rasa marah dan sedih atas pengeboman sebuah hospital di Gaza yang mengorbankan lebih 500 orang semalam, lapor laman berita Mint.
Biden menerusi kenyataan White House berkata, beliau juga akan menunda lawatannya ke Jordan susulan serangan itu.
“Saya marah dan amat sedih dengan pengeboman Hospital Al Ahli Arab di Gaza serta bilangan kematian yang amat tinggi.
“Sejurus mendengar berita ini, saya bercakap dengan Raja Abdullah II dari Jordan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta mengarahkan pasukan keselamatan negara untuk terus mengumpul maklumat tentang apa sebenarnya yang berlaku.
“Amerika berdiri teguh untuk melindungi kehidupan orang awam semasa konflik ini dan kami turut meratapi kematian pesakit, kakitangan perubatan dan orang lain yang tidak bersalah dalam tragedi ini,” katanya.
Biden pada awalnya dijadualkan pergi ke Jordan selepas melawat Israel hari ini bagi membincangkan mengenai konflik dengan Hamas.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, Biden tiba di Israel hari ini dalam ‘lawatan solidariti’ susulan serangan ke atas Israel pada minggu lalu.
Pesawat Air Force 1 mendarat sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv, di mana Netanyahu sendiri menyambut ketibaan Biden. – AFP/Agensi