ALOR GAJAH – Seorang jururawat yang juga ibu tunggal hanya mampu ‘gigit jari’ apabila terpaksa menanggung hutang bank berjumlah RM125,000 selepas ditipu kekasih TikTok dikenali sebagai ‘Nor Azman Umar’, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 30-an mula berkenalan dengan suspek menerusi media sosial itu pada 29 September lalu.
Katanya, selepas sembilan hari berhubung suspek memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar hadiah kejutan sebagai tanda persahabatan mereka.
“Mangsa kemudian menerima panggilan kononnya daripada pihak kurier pada 8 Oktober menyatakan ada bungkusan kotak yang dikirim oleh kenalannya itu.
“Wanita tersebut kemudian diarahkan untuk membuat pelbagai pembayaran pelepasan barangan seperti bayaran guaman, duti setem, cagaran dan kepada pijak Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat pembayaran secara berperingkat sepanjang tempoh antara 8 Oktober hingga 15 Oktober lalu menggunakan wang pinjaman bank.
“Mangsa melakukan 12 transaksi pembayaran berperingkat berjumlah RM125,000 ke dalam empat akaun bank suspek yang berbeza.
“Setelah pembayaran dibuat, pengadu masih tidak menerima bungkusan yang dijanjikan dan menyedari dirinya ditipu selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan lain,” katanya.
Arshad berkata, mangsa hadir membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE