TANPA menafikan prestij Pestabola Merdeka, pertandingan ini wajar dipertimbangkan sebagai platform pendedahan pemain muda berbakat di negara ini bagi membiasakan mereka beraksi di peringkat antarabangsa.
Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, jika segala perancangan berjalan lancar, beliau percaya Malaysia mampu melahirkan pemain berkualiti yang mungkin memenuhi kriteria bola sepak masa kini.
“Saya masih mengikut perkembangan bola sepak Malaysia dan pada saya, Pestabola Merdeka wajar diteruskan. Bagi peluang kepada pemain-pemain muda untuk bermain di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu melahirkan pemain berkualiti, kalau kita tidak mulakan sekarang, bila lagi? Ambillah peluang ini sebagai latihan kepada pemain muda, beri mereka peluang beraksi di peringkat antarabangsa.
“Kalau betul-betul, kita akan nampak dan mampu melahirkan pemain lebih mantap dan tidak keterlaluan boleh menggugat Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
Ketika ini, Khalid yang sering mengutarakan pendapat tentang bola sepak tempatan sedang menjalani rawatan kanser paru-paru.
“Rawatan berjalan baik dan saya minta doa daripada semua orang untuk saya cuba mengatasi situasi ini dengan baik. Saya cukup berterima kasih kepada semua pihak yang sudah memberi bantuan sepanjang saya menjalani rawatan,” katanya.