KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan sebanyak RM67.6 juta dalam bentuk bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan kepada veteran tentera yang berada di bawah paras garis kemiskinan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan itu ketika ini melibatkan seramai 18,786 Veteran Berpencen dan Veteran Tidak Berpencen.
“Kita (kerajaan) juga menyediakan sumbangan khairat kepada anggota dan tanggungan bernilai RM3,000 bagi veteran dan RM1,500 bagi keluarga. Setakat ini kita telah membelanjakan RM455,000.
“Bagi aspek kesihatan pula, Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM103 juta bagi tujuan rawatan dan ubat-ubatan serta alat yang terkait perubatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) tentang skop pemerkasaan yang sedang dilaksanakan secara menyeluruh terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup veteran angkatan tentera sama ada yang berpencen atau tidak berpencen.
Adly berkata, bagi bantuan kepada veteran tentera dalam aspek perumahan pula melibatkan pembinaan perumahan baharu sebanyak 40 buah dan 170 pembaikan rumah.
Menurut beliau, daripada segi bantuan pendidikan di peringkat rendah dan menengah kepada veteran tentera, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM557,000.
“Kita juga sediakan bantuan RM1,000 di peringkat diploma dan RM1,500 diperingkat ijazah.
“Disamping itu seperti yang diumum dalam Belanjawan 2024 dimana kerajaan memutuskan diberi bantuan khas RM1,000 melibatkan tambahan peruntukan RM213 juta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Yuneswaran, beliau berkata, setiap tahun akan ada sekitar 5,000 veteran tentera baru dan adalah penting untuk membantu menyusun kerjaya mereka.
“Menyusun kerjaya adalah persoalan yang cukup penting kerana dengan cara ini kita dapat keluarkan mereka daripada paras garis kemiskinan,” katanya. – KOSMO! ONLINE