PETALING JAYA – Hampir setahun menjalin cinta, pelakon popular Siti Saleha sehingga kini belum mempunyai perancangan untuk mengakhiri zaman janda dengan kekasih hati, Joshua Fitton.
Saleha atau lebih mesra disapa Sally memberitahu, dia dan teman lelaki yang juga seorang pereka fesyen tidak mahu tergesa-gesa ke arah perkahwinan.
“No (belum ada). Taking things slow (perlahan-lahan).
“Chill chill je (tenang-tenang sahaja),” katanya ringkas kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media siri terbaharu lakonannya, That Cover Girl yang bakal ditayangkan menerusi Prime Video Malaysia bermula 19 Oktober ini.
Mengulas tentang naskhah tersebut, Sally yang memainkan peranan utama sebagai Sofi memaklumkan, watak diperankan sangat bertentangan dengan keperibadian sebenar dirinya dalam dunia realiti.
“Watak Sofi sangat ‘daring’. Dia main muat naik apa sahaja dalam media sosial tanpa berfikir.
“Tapi, kalau saya akan fikir dahulu dan tanya orang sekeliling (sebelum post). Fikir dua tiga kali. Bagi saya, untuk kekal relevan bagi saya bukan melalui publisiti murahan seperti Sofi dalam That Cover Girl,” katanya.
Tidak hadir sendirian, difahamkan, teman lelakinya Joshua turut hadir memberikan sokongan dengan menghadiahkan dirinya jambangan bunga sebagai simbolik selamat berjaya.
Sally atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum bercerai dengan bekas suami, Ahmad Lutfi Azhar tahun lalu selepas empat tahun berkahwin dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Hujung tahun lalu, Sally membuat pengakuan sedang mengenali hati budi Joshua yang merupakan seorang pereka fesyen jenama terkemuka tempatan, Atelier Fitton. – KOSMO! ONLINE