PETALING JAYA – Bank Rakyat komited memacu pembangunan perkhidmatan kewangan berteraskan kelestarian dengan memanfaatkan keupayaan digital dalam operasi perniagaannya dengan memperkenalkan perkhidmatan pembukaan Akaun Simpanan-i tanpa kertas melalui platform BRICK (Bank Rakyat Quick).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, perkhidmatan tersebut adalah inisiatif transformasi digital Bank Rakyat bagi memperluaskan akses perbankan untuk pelanggan, sekali gus menggerakkan amalan perniagaan ke arah matlamat kelestarian.
“Inisiatif tanpa kertas ini yang mana seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Digitalisasi dan Kelestarian Bank Rakyat 2025 menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam membangunkan persekitaran perbankan yang lebih inklusif melalui produk kewangannya yang inovatif, bertepatan dengan nilai daya cipta Madani serta mesra alam bagi memudahkan peralihan ke arah masa depan yang lebih hijau.
“Ia juga sebagai usaha Bank Rakyat bagi memupuk sikap kebertanggungjawaban masyarakat dalam memelihara alam sekitar menerusi penggunaan sumber secara bertanggungjawab dan tidak melakukan pembaziran yang berterusan bagi merealisasikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, perkhidmatan pembukaan Akaun Simpanan-i tanpa kertas ini menjadikan tawaran produk berkenaan lebih mudah diakses dan selamat seiring dengan gaya hidup serta keperluan pelanggan ketika ini.
Katanya pelanggan boleh mengemukakan permohonan untuk membuka Akaun Simpanan-i menerusi proses dalam talian dengan hanya mengimbas kod QR BRICK atau layari https://brick.bankrakyat.com.my/.
“Inisiatif ini juga membolehkan pelanggan memuat naik dokumen dan menghantar permohonan secara dalam talian sepenuhnya.
“Setelah proses permohonan lengkap, pelanggan perlu hadir ke cawangan Bank Rakyat bagi tujuan pengesahan identiti menggunakan kemudahan peranti mudah alih yang disediakan di cawangan.
“Kemudahan ini disediakan di 148 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara bagi menawarkan pengalaman perbankan yang kondusif untuk pelanggan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Bank Rakyat turut mengumumkan rangkaian kad kredit mesra alam pertamanya iaitu Kad Kredit-i Muslimah Bank Rakyat yang telah mula ditawarkan pada September 2023.
“Kad kredit boleh terbiodegradasi ini diperbuat daripada bahan kitar semula selain tahan lasak dan akan terbiodegradasikan (reput) sepenuhnya dalam masa sembilan ke 12 bulan selepas tarikh luput tanpa meninggalkan sisa toksik yang membahayakan alam sekitar.
“Ciri baharu ini juga tidak menjejaskan kualiti dan ciri kad sedia ada termasuklah penggunaan bagi pembayaran tanpa sentuh. Pemegang Kad Kredit-i Muslimah sedia ada juga digalakkan untuk mendapatkan kad mesra alam ini sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kemampanan Bank Rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE