Untuk berjaya dalam bidang fesyen, perlu ada kefahaman menyeluruh terhadap proses-proses yang berkaitan dengan industri tersebut.
Pereka perlu tahu selok-belok perniagaan dan pemasaran fesyen. Tanpa pengalaman dan pengetahuan ini, mungkin agak sukar untuk memasarkan produk atau jenama mereka dengan lebih berkesan.
Industri fesyen bukan hanya mengenai pakaian, sebaliknya ia adalah lebih kepada industri yang berkembang pesat dan merupakan cabang perniagaan yang menyentuh hampir semua lapisan masyarakat.
Industri fesyen Malaysia juga kini telah mula mencipta nama di benua Asia dan dunia, masyarakat kini lebih berfikiran terbuka terhadap kepentingan dunia fesyen.
Namun, kita perlu akui bahawa pasaran fesyen di Asia masih lagi berteraskan fesyen yang praktikal dan komersial. Konsep perniagaan ini yang meraih pulangan paling lumayan buat masa ini.
Oleh itu, adalah amat perlu bagi mereka yang menceburkan diri dalam industri fesyen, faham tentang ekonomi pasaran tempatan.
Pereka perlu menyediakan diri mereka dengan sebanyak mungkin kepakaran perniagaan dan juga kemahiran-kemahiran lain yang boleh mengimbangi serta membantu karya-karya kreatif mereka.
Sememangnya pasaran di Malaysia agak kecil, setiap pasaran ada had dan batasnya.
Oleh itu, terpulang kepada para pereka untuk membuat kajian serta bekerja keras untuk mengetahui pasaran bagi mempertingkat atau menambah hadnya dan menghasilkan sesuatu yang boleh memberi faedah atau manfaat kepada semua.
Komentar sosial
Fesyen bukan hanya tentang konsumerisme, tetapi sebaliknya ia juga merupakan komentar sosial serta cerminan seni itu sendiri. Pereka perlu lebih terbuka dan menerima idea baharu serta sentiasa mendengar keperluan industri, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang sentiasa berubah-ubah.
Seharusnya juga mereka yang berkecimpung dalam industri fesyen secara profesional, perlu sensitif terhadap perkembangan dan peristiwa yang berlaku di peringkat global, di kota-kota fesyen dunia dan juga tempatan.
Ramalan masa depan
Bagi setiap pereka fesyen, mengetahui apa yang mahu direka serta bagaimana untuk mempersembah dan menyiapkan koleksi dalam sesuatu masa yang telah ditetapkan, bukanlah bersandarkan pada intuisi semata-semata, sebaliknya ia merangkumi kekuatan dan kehebatan penyelidikan, strategi perancangan, eksperimentasi, inspirasi dan juga kecekapan serta kebolehan untuk mentafsirkan trend yang bakal jadi ikutan berdasarkan perubahan demografi, tingkah laku dan gaya hidup manusia.
Analisis inilah yang akan memberi gambaran atau pun ramalan terhadap jenis rekaan pakaian dan aksesori yang mungkin diperlukan oleh pengguna pada masa akan datang.
Kehendak pasaran
Apa yang pasti industri ini bukan hanya berkiblatkan glamor semata-mata, ia sebenarnya memerlukan kerja keras, kesabaran dan ketabahan serta juga pengetahuan dan kefahaman mendalam tentang bagaimana industri ini bergerak (kerana ia sentiasa berubah dan berkembang setiap saat).
Pereka perlu sentiasa bersedia dengan kehendak pasaran. trend dan cita rasa yang sentiasa bertukar.
Perlu diingat, industri fesyen terlalu banyak saingannya, anda mungkin jadi pilihan pada bulan ini tetapi jika anda gagal menarik perhatian dan hasilkan sesuatu yang hebat, anda mungkin akan dilupakan lebih pantas daripada apa yang anda jangkakan.
Khidmat nasihat
Kepentingan kebolehan mengenal pasti personaliti dan cita rasa pelanggan perlu dipupuk agar kita boleh memberikan khidmat nasihat yang lebih tepat serta menghasilkan rekaan yang paling sesuai.
Ia lebih kepada berhubung dengan masyarakat melalui rekaan yang kita hasilkan.
Kini bahagian pemasaran dan promosi dalam sesuatu organisasi sentiasa boleh mempromosikan nama sesiapa jua sehingga ia menjadi sebutan, ikutan atau fashionable.
Apa saja barangan seperti kemeja T hingga kasut sukan boleh menjadi kegilaan peminat fesyen.
Mungkin fenomena ini yang mendefinisikan budaya moden, apapun terpulang pada perspektif masing-masing.
Sumbangan
Kejayaan mereka yang berpengalaman dalam industri ini adalah bertitik tolak daripada usaha mereka mengekalkan hubungan komunikasi yang efektif dan baik sama ada dengan rakan sekerja atau pelanggan.
Ada yang berpendapat bahawa hanya mereka yang berbakat sahaja boleh membolosi industri fesyen, tetapi ada juga mengatakan apa yang diperlukan hanyalah semangat yang berkobar-kobar.
Ketajaman intuisi terhadap fesyen dan kepekaan terhadap keindahan sekeliling secara umumnya, menjadi inspirasi serta kunci utama kejayaan seseorang pereka. Hasil rekaan yang dijayakan pereka adalah merupakan sumbangan mereka kepada masyarakat.