fbpx

Tanya Sama Pokok satukan hati Angeline Tan, Sabri Yunus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS tiga dekad menjalin persahabatan, Angeline Tan mengakui tiada alasan untuknya menolak lamaran Sabri Yunus yang cukup baik di matanya.

PETALING JAYA – “Selepas bekerja dalam Tanya Sama Pokok, timbul satu perasaan yang sangat ganjil dalam diri, rasa istimewa.”

Demikian perkongsian pelakon Angeline Tan yang mengakui mula jatuh hati dengan suaminya, Sabri Yunus selepas bekerjasama dalam sitkom Tanya Sama Pokok pada 2020.

Menurut Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan, perasaan tersebut hadir secara semula jadi tanpa sebarang paksaan atau perlu berpura-pura menjadi wanita berbeza di hadapan pelakon dan pengarah itu.

“Apabila berkawan lama, kami sudah seperti adik-beradik.

“Kemudian, satu hari dia (Sabri) tanya sama ada kami boleh cuba ‘berkawan’ dan saya jawab boleh,” katanya dalam satu temubual hari ini.

Bercerita lanjut, Angeline berkata, tempoh percubaan untuk kenal lebih rapat berjalan lancar memandangkan persahabatan antara mereka sudah terjalin erat sejak 30 tahun lalu.

“Jadi, mengapa tidak? Jawapan saya kepada dia boleh mencuba tetapi perlu sentiasa doakan yang terbaik untuk kita.

“Semuanya mengalir begitu sahaja dengan semula jadi, saya tidak perlu pura-pura jadi orang lain pun depan dia.

“Lebih 30 tahun kenal antara satu sama lain, dia sudah tahu banyak perkara tentang diri saya. Semua ini hanya perlukan hati yang jujur dan ikhlas.

“Kemudian satu hari dia kata, ‘Angeline, kita kahwin’ dan saya juga setuju,” kongsinya sambil tersenyum manis.

Lebih istimewa, Angeline mengakui Sabri merupakan pelakon idolanya dalam industri seni sejak tahun 1992 kerana memiliki keperibadian yang baik.

“Saya hormati dia sejak mengenalinya sekitar tahun 1992. Dia artis pujaan saya ditambah pula dengan bakat hebat, kebaikan dan persahabatannya dengan semua orang.

“Saya mengagumi dia. Selepas bekerja selama sebulan dalam Tanya Sama Pokok, nampak banyak kebaikan dia hingga tak jumpa satu keburukan pun,” ujarnya.

Pada 14 Oktober lalu, industri seni dikejutkan dengan berita gembira apabila Sabri sah bergelar suami kepada aktres Angeline Tan dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis tertutup di Kangar, Perlis.

Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Mereka pernah bergandingan dalam drama Pak Din KK sebaik Angeline menyertai sebuah syarikat produksi cina pada 1992.

Sabri yang memegang watak majikan, manakala Angeline menggalas peranan sebagai kerani dianggap sebagai guru pertama dalam arena lakonan memandangkan dirinya ketika itu baru berjinak-jinak sebagai pelakon.

Setahun kemudian mereka bersatu dalam sitkom arahan Othman Hafsham, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sehingga drama pentas itu berakhir pada 2000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI