KUALA PILAH – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengesan lebih 500,000 hektar kebun yang tidak bertoreh di negara ini, sekali gus berpotensi mengurangkan pendapatan hasil getah negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Ahmad Zainal Abdullah berkata, masalah berkenaan membabitkan pekebun-pekebun yang sudah pun berusia yang berhadapan dengan kesukaran untuk menguruskan kebun mereka sendiri.
Menurutnya, pihaknya mencari alternatif lain bagi memastikan kawasan tanah kebun terbiar itu dapat diusahakan dengan mengatur syarikat berkaitan ataupun mencari penoreh lain selain melaksanakan skim penanaman berkelompok.
“Itu faktornya iaitu usia pekebun kecil dan harga getah… cara atasi, kita adakan jualan berkelompok, tender. Kita tak mahu pekebun kecil jual (getah) secara individu. Banyak contoh negeri lain, Temerloh (Pahang) dan di Kedah kita boleh dapat harga RM3.50 harga getah secara jualan berkelompok sebab jika ada kilang-kilang termasuklah MARDEC (kilang pemerosesan getah milik Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia).
“Jadi ia adalah peluang kepada komuniti kita mendapat pendapatan daripada getah,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah dan Konvensyen GAP Getah Matang Peringkat Risda Negeri Sembilan di UiTM Kuala Pilah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa 3Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi,serta Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), keseluruhan tanaman getah bagi kawasan di negeri ini adalah sebanyak 76,769 hektar.
Menurutnya, kebun getah muda sebanyak 11,512 hektar manakala bagi kebun getah matang adalah 65,257 hektar menunjukkan peratusan kawasan getah matang adalah sebanyak 85 peratus. – KOSMO! ONLINE