GEORGE TOWN – Ibu bapa terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah (B40) menarik nafas lega apabila Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diteruskan tahun depan sekali gus membantu meringankan beban menyediakan keperluan sekolah anak-anak.
Rata-rata mereka menyifatkan bantuan itu sangat bernilai terutamanya bagi yang ramai anak apabila perlu menyediakan keperluan persekolahan, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada masa sama.
Pekerja swasta, Roslinda Ahmad, 43, berkata, pemberian BAP paling ditunggu-tunggunya memandangkan tahun depan adalah tempoh paling getir untuk mereka sekeluarga.
“BAP sangat penting bagi kami kerana sesi persekolahan tahun depan dijadualkan serentak dengan sambutan 1 Ramadan. Duit bantuan ini akan dibelanjakan untuk membeli buku-buku sekolah dan yuran Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA).
“BAP sebanyak RM150 juga rezeki untuk lima anak saya yang bersekolah termasuk seorang yang akan memasuki ke darjah satu pada tahun depan,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Sementara itu, bagi operator kilang, Aishah Rahman, 41, bantuan persekolahan itu dapat meringankan beban ditanggung ketika ini yang berdepan kenaikan harga barangan keperluan.
“Ini merupakan berita paling gembira buat golongan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri dengan jumlah anak yang ramai. Kami memang sangat memerlukan bantuan ini untuk empat anak yang bersekolah.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan kos sara hidup yang semakin mencabar selain tanggungan hutang yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, rasa gembira itu turut dikongsikan kakitangan swasta, Nur Nadia Hanim Mohd. Rafiq, 38, yang memberitahu, keseluruhan BAP yang bakal diterima adalah RM450 dan akan digunakan sepenuhnya membuat persiapan sesi persekolahan baharu pada Mac tahun depan.
“Lega sangat-sangat apabila bantuan persekolahan ini diteruskan kerana menyediakan persiapan persekolahan tiga anak sekali gus bukan mudah dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Alhamdulillah dapatlah saya gantikan pakaian seragam, beg, kasut serta buku anak-anak nanti,” katanya yang mempunyai anak darjah enam, lima dan tiga pada tahun hadapan.
Seorang ibu tunggal, Siti Nurashikin Fadil, 37, menyifatkan keprihatinan kerajaan dalam mendengar keluhan ibu bapa berpendapatan kecil sangat dihargai terutama yang memerlukan peruntukan besar dalam keperluan persekolahan.
“Ketika ini kami berjimat-cermat dengan mengutamakan pembelian barangan keperluan berbanding kehendak.
“Bantuan disalurkan kerajaan ini meringankan beban saya yang perlu memikirkan persiapan raya (Aidilfitri) apabila kebetulan perayaan itu disambut tidak lama selepas sesi persekolahan baru dibuka,” jelasnya.