SELAIN kecantikan, aspek kesihatan dan juga kecergasan amat dititikberatkan Mrs Malaysia Globe
(MMG) untuk kesemua peserta ratu cantik yang bertanding.
Pada 14 Oktober lalu, MMG mengambil inisiatif melakukan aktiviti sukan renang unik dikenali sebagai mermaiding di pusat sukan Arena Sukan Setapak, Kuala Lumpur.
Bagi aktiviti itu, kesemua peserta akan memakai persalinan renang menyerupai seekor ikan duyung sebelum mula berenang.
Pengarah Kebangsaan baharu MMG, Hyacinth Ho berkata, aktiviti itu bukan sahaja menarik, malah juga memberi manfaat, sama seperti sukan yang lain.
“Mermaiding merupakan sukan renang yang sudah lama ada, namun untuk peserta MMG, ini merupakan kali pertama ia diperkenalkan.
“Selain menyeronokkan dan menghilangkan tekanan, ia juga merupakan sukan yang mempunyai manfaat yang baik untuk kesihatan,” ujarnya.
Tambah Hyacinth, mermaiding juga memberi ruang kepada ratu-ratu cantik itu untuk menghidupkan fantasi mereka memandangkan mereka berpeluang menjadi seekor ikan duyung.
“Aktiviti itu juga dilihat sebagai salah satu bentuk escapism yang mana peserta boleh keluar sebentar daripada dunia sebenar dan menghidupkan fantasi sebagai seekor ikan duyung,” jelasnya.
Selain berenang, aktiviti mermaiding yang dianjurkan juga adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk pemuliharaan laut.
“Apabila bercakap tentang pertandingan ratu cantik, orang pasti membayangkan barisan wanita yang bergaya mengenakan solekan dan memakai pakaian yang cantik.
“Namun, kami sebenarnya mahu menjadi lebih daripada itu dan oleh sebab itu, setiap aktiviti yang dijalankan MMG mempunyai matlamat dan tujuan tertentu, bagi mengubah persepsi umum terhadap pertandingan ratu cantik,” katanya.