fbpx

Pemandu teksi dakwa terus tersisih dari Belanjawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu teksi mengeluh apabila pendapatan merosot akibat kekurangan pelanggan sejak awal tahun lalu. – GAMBAR HIASAN

KLUANG – Golongan pemandu teksi mendakwa mereka terus terpinggir dan tidak memperoleh imbuhan daripada Belanjawan 2024 bagi meningkatkan pendapatan yang terus merosot sejak awal tahun lalu.

Dakwa mereka, harapan untuk mendapatkan sedikit imbuhan daripada kerajaan selepas Belanjawan 2023 terus lebur apabila tiada bantuan disalurkan kepada mereka pada tahun depan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang, Mustakim Jalel berkata, kemerosotan pendapatan menyebabkan hanya 50 daripada 124 ahli persatuan yang masih bertahan, manakala selebihnya mencari pekerjaan lain.

“Masalah kekurangan penumpang ini berlaku berikutan persaingan daripada syarikat e-hailing dan lebih parah kemunculan teksi haram yang mengenakan tambang lebih murah.

“Harapan kami mendapatkan sedikit perhatian dalam belanjawan minggu lalu agar boleh meneruskan pekerjaan sebagai pemandu teksi sebagai punca pendapatan diibaratkan seperti menunggu bulan jatuh ke riba,” katanya.

Mustakim berkata, terdapat pemandu teksi yang menjadikan kenderaan itu sebagai pengangkutan untuk keluarga berikutan tidak mampu membeli kereta lain.

“Dengan pendapatan RM50 sehari, ia tidak mampu untuk menampung kehidupan lebih-lebih bagi yang mempunyai anak di sekolah dan institusi pengajian tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Rosman Alias, 63, yang hampir 10 tahun menjadi pemandu teksi mengakui terkilan apabila kerajaan seolah-olah tidak memahami kesusahan mereka yang be­kerja sebagai pelengkap kepada sebahagian kemudahan ­pengangkutan awam ini.

Ujarnya, jika keadaan ini ­terus berlaku, diyakini lebih banyak pemandu teksi terpaksa ‘gantung lesen’ serta hilang pendapatan untuk me­nyara keluarga.

“Secara hakikatnya masalah pemandu teksi ini bukan hanya berlaku di Kluang sahaja, malah meliputi seluruh negeri di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI