fbpx

Nyanyian ‘hauk’, Aishah salahkan monitor telinga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH lebih selesa menggunakan alat pemantau vokal (vocal monitors) yang digelar 'wedges', berbanding monitor telinga atau 'In-ear Monitors' (IEM).

TIDAK biasa menggunakan alat monitor telinga atau ‘In-ear monitors’ antara sebab mengapa penyanyi Datuk Aishah tidak dapat menyanyi dengan baik sewaktu menyertai program realiti terkenal, All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Perkara itu didedahkan Aishah menerusi penjelasan panjang lebar yang ditulis dalam Instagram miliknya.

Menurut pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu, sebagai penyanyi yang sudah 38 tahun dalam industri, dia lebih selesa menggunakan alat pemantau vokal (vocal monitors) yang digelar wedges, berbanding IEM.

“Sebagai penyanyi lama, ada beberapa isu teknikal yang saya hadapi. Selama 38 tahun, saya menyanyi dengan bantuan vocal monitors (wedges). Alat bantuan ini akan menghadap penyanyi supaya saya boleh dengar suara dan muzik.

“Tapi sekarang dah tak pakai ‘wedges’, digantikan dengan IEM yang disumbat dalam telinga,” ujar bekas peserta All Stars Gegar Vaganza (GV10 ) itu.

Kata penyanyi berusia 58 tahun itu lagi, sebagai penyanyi lama, dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan IEM sehingga menjejaskan mutu nyanyiannya.

“Generasi muda sudah biasa menyanyi dengan menggunakan IEM. Namun, bagi saya generasi lama agak sukar untuk menggunakannya.

“Sewaktu bertanding dalam Gegar Vaganza musim keempat (GV4), peralatan wedges masih digunakan (ketika itu di PICC Putrajaya). Tapi di MBSA (GV10), tiada langsung wedges dan perlu menggunakan IEM sepenuhnya.

“Saya cuba seimbangkan bunyi dalam IEM dengan memakai sebelah ketat dan ada masa dipakai longgar. Sewaktu konsert minggu pertama, saya pakai IEM sepenuhnya dan semua orang tahu saya menyanyi dengan teruk,” katanya.

Tiada niat mempertikaikan perkembangan teknologi hari ini, Aishah berkata dia hanya mahu menjelaskan masalah yang dihadapi bagi membetulkan salah faham orang ramai terhadap persembahannya sepanjang bertanding dalam GV10.

Kata pelantun lagu Janji Manismu itu, dia akan tetap bersuara bagi memperbetulkan keadaan dan berjanji untuk ‘berehat’ selepas semuanya diperjelaskan.

“Saya hargai permintaan mereka yang prihatin dengan menasihati saya supaya berdiam. Tapi tolonglah faham, kalau ada perkara yang tidak betul, saya akan jawab.

“Okay saya berjanji, selepas ini saya akan berehat (diam),” katanya.

Dalam ruangan komen, ramai pengikut setia Aishah meninggalkan kata-kata semangat dan menyatakan hasrat untuk terus menyokong karier penyanyi itu.

“Apa pun yang terjadi, nama Aishah tetap terpahat sebagai salah seorang penyanyi wanita hebat yang ada di Malaysia,” ujar peminatnya.

“Kakak seorang yang jujur. Kami kenal kakak dan akan sentiasa menyokong karier nyanyian kakak,” kata seorang lagi peminat.

“Kami menanti konsert kak Aishah. Jangan fikir lagi perkara yang sudah lepas,” kata seorang pengguna Instagram.

Terdahulu, Aishah menuai perhatian ramai gara-gara dikatakan terlalu lantang bersuara dalam media sosial.

Kata Aishah, dia menganggap kelantangannya itu sebagai satu prinsip hidup untuk menyuarakan sesuatu jika ada yang tidak kena di matanya.

Aishah yang meninggalkan pentas GV10 pada konsert keempat minggu lalu,  sekali lagi mencuri perhatian apabila dalam ucapannya ada menyebut netizen pasti gembira kerana doa mereka untuk melihatnya tersingkir dimakbulkan. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI