KANGAR – Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan pernikahan pasangan pengarah dan pelakon, Sabri Yunus dengan AngelineTan adalah sah kerana memenuhi rukun nikah ditetapkan.
Kata beliau, pernikahan pasangan terbabit adalah sah walaupun akad nikah berlangsung secara ringkas.
“Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi, dia akan mengetahui bahawasanya nabi akad nikah memang mudah.
“Apa yang penting adalah cukup rukunnya termasuk ada ijab kabul yang mana ia bermaksud adanya kita memberikan satu tawaran perkahwinan dan satu lagi pihak menyambut tawaran perkahwinan itu,” katanya dalam satu video temu bual di akaun Facebooknya, baru-baru ini.
Menurutnya, proses ijab kabul tidak sepatutnya disulitkan dengan syarat seperti ia perlu dilafazkan dalam satu nafas selain perlu menyebut semula ayat disebut individu yang melakukan akad tersebut.
“Bila dia kata saya menerima seperti mana yang telah disebutkan, maka berlaku ijab dan kabul
“Yang penting ialah adanya ungkapan menyatakan dengan siapa dinikahkan dan pihak satu lagi menerima serta ada dua orang saksi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, beliau juga melihat seolah-olah pasangan pengantin ‘didenda’ dalam hal pernikahan.
“Tak adalah nak kena dihafal namanya, satu nafas dan tak putus nafas. Ini semua salah faham terhadap fiqh.
“Kita jangan jadikan benda halal ini terlalu rumit, ini semua perkara tidak benar yang akhirnya menyusahkan dan kemudian orang sekeliling pun boleh kata sah atau tak sah, seterusnya pengantin perlu ulang,” katanya.
Ujarnya, pernikahan bukanlah satu permainan dengan lafaz yang sudah sah perlu diulang semula.
“Alhamdulillah, mudah-mudahan ini boleh jadi contoh dan saya juga ingin mengingatkan semua jurunikah, di Perlis khususnya agar jangan menyukarkan hal seperti ini. Yang penting mudah dan disunatkan sebelum itu kita ada khutbah nikah,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pengarah dan pelakon terkenal, Sabri Yunus terkilan dengan tuduhan seorang ustaz yang mendakwa pernikahannya bersama Angeline Tan kelmarin adalah tidak sah merupakan tuduhan terlalu berat.
Jelas Sabri yang juga dikenali Pok Ya itu, paling menyedihkan apabila ustaz terbabit juga terus membuat kesimpulan bahawa dia dan pasangannya itu akan berzina jika perkahwinan tersebut tidak sah. – KOSMO! ONLINE