fbpx

MPM mengharap dana, atlet para makin kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BIMBANG gagal menyediakan atlet terbaik pada masa hadapan antara kerisauan yang di­utarakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selepas badan induk sukan itu sedar mengenai kekurangan atlet kelainan upaya (OKU) ketika ini selain isu atlet pelapis masih juga belum mencukupi.

MPM mengakui mereka bakal kehilangan atlet terbaik selepas beberapa daripadanya bakal mengumumkan persaraan dan ada antaranya gagal mencapai tahap terbaik berikutan faktor usia.

Sedar akan perkara tersebut, MPM telah meningkatkan usaha untuk mencari bakat-bakat baharu dalam tempoh empat tahun lalu, namun ketiadaan dana yang stabil menjadi masalah utama ketika ini.

Benar, kerajaan telah mengumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2024 dengan memperuntukan sebanyak RM12 juta, tetapi ia hanya untuk memperkasa ekosistem atlet para terutama menerusi program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

Bagaimanapun, peruntukan tersebut tidak termasuk kepada program akar umbi dalam memastikan atlet-atlet baharu mampu dilahirkan selepas ini dapat diteruskan.

Justeru, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berharap kerajaan dapat menambah peruntukan dana kepada sekurang-kurangnya RM50 juta setahun bagi membolehkan program pembangunan atlet para serta sukan itu di peringkat akar umbi dapat diperkasa.

“Secara dasarnya peruntukan RM12 juta untuk persiapan temasya para antarabangsa, kami gembira dan terima kasih kepada pihak kerajaan, cuma saya berharap agar pihak kerajaan dapat memberi atau menambah dana untuk pembangunan sukan maksudnya pembangunan kami sekarang dan kita punya program akar umbi.

“Kita sedar bahawa atlet yang ada ketika ini kian berkurangan di samping barisan atlet pelapis masih juga belum mencukupi. Kita akui bukan mudah untuk mengesan mereka ini.

“Kita akui, banyak keluarga di Malaysia sebagai contoh di pedalaman dan B40, bila mereka nak hantar anak (para) dia kena buat keputusan.

“Contoh dia ada lima atau enam anak di mana seorang itu kurang upaya jadi mereka akan fikir nak labur dekat kurang upaya atau normal?

“Kebanyakan anak-anak istimewa ini terutama dari kampung-kampung atau keluarga B40 di luar sana tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyertai sukan para dan perlukan bantuan,” katanya.

Tambah Megat, sekiranya mereka tidak menerima bantuan suntikan dana tambahan ia bakal memberi masalah kepada 25 persatuan di bawahnya yang bekerja keras selama ini untuk bergerak mencari atlet pelapis.

“Pasti terjejas, kita tidak akan dapat atlet-atlet muka baharu yang baik. Macam mana 25 persatuan ini mahu bergerak jika tiada dana diperuntukan.

“Kalau hari ini kita meletakkan 35 pingat di Sukan Asia Hangzhou, silap-silap pada temasya akan datang kita hanya mampu menuai 10 pingat. Ini perkara yang kita risau memadangan pendekatan yang kita bawa untuk membawa atlet OKU ini tidak sama seperti mencari atlet normal.

“Bagi saya, tidak guna kalau kita ada RM12 juta untuk hantar ke program antarabangsa tetapi tahun depan kita ‘hilang’ atlet dan atlet pelapis pula tidak mencukupi.

Kita harap pihak kerajaan dapat melihat semula antara keperluan yang kita mahukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI