LONDON – Hasrat penggempur sensasi Manchester City, Erling Haaland untuk dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ballon d’Or pada edisi kali ini mungkin tidak kesampaian biarpun berjaya membantu pasukan meraih gelaran trebel dengan menjuarai Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim lalu.
Pemain antarabangsa Norway itu dipercayai bakal kempunan apabila kapten Argentina dan Inter Miami, Lionel Messi akan diangkat sekali lagi sebagai pemenang anugerah tersebut untuk mengumpul keseluruhan lapan bola emas dalam kariernya.
Messi berada dalam senarai tiga terbaik dan dianggap sebagai calon pemenang selepas membantu Argentina menamatkan penantian selama 36 tahun La Albiceleste apabila menjulang trofi Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar pada Disember tahun lalu.
Sementara itu, Haaland dianggap pencabar terkuat untuk Messi pada edisi kali ini selepas dia berjaya meledak 52 gol dalam 53 aksi bersama The Citizens dalam semua kejohanan sekali gus membolehkannya dianggap sebagai calon pilihan oleh sebahagian peminat dan pemerhati bola sepak untuk membawa pulang anugerah berprestij tersebut.
Bagaimanapun, laporan menyebut bahawa Messi bakal menggagalkan impian Haaland dengan memenangi anugerah berkenaan apabila kejayaan menjuarai Piala Dunia dianggap sebagai pencapaian yang lebih besar berbanding mana-mana kejohanan lain termasuk kejayaan trebel tersebut.
Dalam sejarah anugerah tersebut, pemain tengah Real Madrid, Luka Modric berjaya merangkul Anugerah Ballon d’Or bagi edisi 2018 selepas membantu negaranya, Croatia mara ke final Piala Dunia, sementara Fabio Cannavaro dipilih pemenang edisi 2006 ketika memacu Itali memenangi kejohanan tersebut pada tahun yang sama. – KOSMO! ONLINE