GETAFE – Penyerang Getafe, Mason Greenwood berminat untuk menyertai kelab itu secara tetap sebaik tempoh pinjamannya daripada Manchester United berakhir pada Jun tahun depan.
Greenwood, 22, kembali menikmati permainannya apabila dia bukan sahaja berjaya memecah masuk dalam kesebelasan utama Getafe tetapi turut meledak gol pertamanya di Sepanyol.
Gol pertamanya itu hadir ketika membantu Getafe seri 2-2 dengan Celta Vigo pada aksi La Liga di Estadio Balaidos pada 9 Oktober lalu.
Ia sekali gus meningkatkan motivasinya untuk terus bermain secara kerap bagi melupakan episod hitam yang menyaksikannya ‘dibeku’ oleh United sejak 22 Januari tahun lalu.
Greenwood terpaksa menerima hukuman itu selepas didakwa merogol dan melakukan serangan ke atas kekasihnya sebelum mahkamah memutuskan kesemua pertuduhan itu digugurkan pada Februari lalu.
Bagaimanapun, United masih belum ‘yakin’ dengan Greenwood yang menyebabkan dia dihantar beraksi secara pinjaman bersama Getafe sehingga akhir musim ini.
Dalam masa sama, Jamaica turut bercadang menawarkan peluang kedua buat Greenwood untuk membolehkannya kembali beraksi di pentas antarabangsa selepas baru bermain satu perlawanan dengan England pada 2020.
“Saya tiada beza dengan semua jurulatih lain di seluruh dunia. Kami mahukan pemain terbaik dalam pasukan.
“Jika dia (Greenwood) dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik dan prestasi sebenarnya, ia sememangnya dapat membantu Jamaica. Kami berminat tetapi terpulang kepada dia,” kata ketua jurulatih Jamaica, Heimir Hallgrimsson. – AGENSI