fbpx

Konflik Palestin-Israel: PBB tolak resolusi gencatan senjata Russia kerana gagal kecam Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat mengenai situasi di Gaza. – PBB/ Eskinder Debebe

BANDAR RAYA NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak draf resolusi Russia semalam untuk mendesak gencatan senjata bagi meredakan konflik Palestin-Israel.

Moscow mengemukakan usul tersebut dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB.

Agensi berita Anadolu melaporkan, resolusi itu menerima lima undian yang menyokong, manakala empat lagi menolak selain enam berkecuali.

Negara yang menolak resolusi itu ialah Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jepun.

Walaupun kumpulan Hamas tidak disebut secara khusus dalam draf resolusi Russia, isu kematian orang awam menjadi perkara utama yang dikutuk.

Duta Besar Russia ke  PBB, Vassily Nebenzia berkata, undian tersebut menunjukkan negara mana yang menyokong gencatan senjata atau menghentikan pengeboman tanpa menyebelahi mana-mana pihak, selain mendesak supaya bantuan kemanusiaan disalurkan segera.

“Seluruh dunia menunggu dengan penuh sabar untuk Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah bagi menamatkan pertumpahan darah ini.

“Namun, delegasi Barat telah menghancurkan harapan itu,” kata Nebenzia.

Sementara itu, Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata, resolusi Russia dikemukakan tanpa sebarang rundingan dan tidak menyebut Hamas.

Beliau menuduh Russia memberi perlindungan kepada kumpulan Hamas  yang menganiaya orang awamnya sendiri serta menambah, perbuatan Hamas keterlaluan.

“Ia (resolusi Russia) hipokrit dan ia tidak boleh dipertahankan,” ujarnya.

Bagi pihak Palestin pula, Dutanya ke PBB, Riyad Mansour menuduh Majlis Keselamatan hanya memerhatikan serangan terhadap dua juta orang di Semenanjung Gaza selama 10 hari.

“Tiada seorang pun harus lupa bahawa ini adalah nyawa manusia, nyawa rakyat Palestin juga penting. 

“Tiada siapa harus melayan ilusi bahawa membunuh lebih ramai rakyat Palestin akan menjadikan Israel lebih selamat,” tambahnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI