BANDAR GAZA – Beribu-ribu penduduk Gaza berhimpun di lintasan sempadan Rafah-Mesir ketika usaha diplomatik diteruskan untuk membuka laluan tersebut sebelum tentera Israel melancarkan pencerobohan darat, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pagi semalam, beribu-ribu orang awam menuju ke lintasan Rafah selepas tersebar berita laluan itu akan dibuka buat sementara waktu untuk gencatan senjata.
Kedua-dua pihak Hamas dan Israel bagaimanapun menafikan bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata.
Tidak lama selepas itu, wartawan BBC di selatan Gaza mengesahkan bahawa Israel melancarkan serangan udara yang mengenai kawasan sekitar lintasan Rafah. Serangan itu memusnahkan sebuah bangunan dan jalan raya di sebelah Palestin.
Tentera Zionis menyerang kawasan sekitar lintasan Rafah sekurang-kurangnya tiga kali sejak ia memulakan serangan udara ke atas Gaza.
Lintasan tersebut adalah satu-satunya pintu keluar dari Gaza, manakala kepungan Israel ke atas laluan lain ke wilayah yang dikuasai Hamas diteruskan.
Walaupun Mesir bersedia untuk membuka semula lintasan Rafah bagi membolehkan pemegang pasport asing keluar dan bantuan kemanusiaan masuk, Kaherah bimbang tindakan tersebut boleh mengakibatkan berlakunya kemasukan besar-besaran pelarian Palestin.
Mesir dan negara-negara Arab lain berkata, keadaan itu tidak boleh diterima kerana ia akan menyebabkan pengusiran rakyat Palestin dari tanah air mereka. – AGENSI