fbpx

Konflik Palestin-Israel: Abuy Zyad selamat, adik ambil alih akaun media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abuy Zyad dilaporkan selamat selepas gagal dihubungi beberapa hari.

PETALING JAYA – Lelaki warga Palestin yang fasih berbahasa Indonesia, Abuy Zyad dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Perkara itu dimaklumkan oleh adiknya, Ahmed Al Shorafa menerusi hantaran di TikTok milik abangnya hari ini.

“Abuy Zyad selamat, dia mengatakan kepada saya bahawa dia sedang menjalani hari-hari tersulit dalam hidupnya dan terancam kematian setiap saat,” kongsinya.

Terdahulu, Abuy Zyad mula mencuri perhatian pengguna media sosial selepas sering memuat naik perkongsian di TikTok berhubung perkembangan semasa pertempuran di Gaza dengan tentera Israel sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, pada 14 Oktober, Abuy Zyad sempat meluahkan kerisauannya berdepan keadaan genting di negaranya menerusi satu hantaran.

“Saya sudah habis solusi. Capaian Internet sebentar lagi hilang. Israel putuskan Internet kerana mahu membuat yang lebih buruk agar orang tidak tahu.

“Kemungkinan lebih 1.2 juta orang akan meninggal dunia. Terima kasih banyak semua. Mohon doakan dan maafkan. Kalau saya tidak ada kemas kini apa-apa, mungkin kita berjumpa di al-Aqsa atau di syurga,” katanya.

Sejak itu, Abuy Zyad tidak lagi memuat naik hantaran baharu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengikutnya terhadap keadaan keselamatan dirinya.

Semalam, Ahmed Al Shorafa turut berkongsi situasi yang mana dia gagal menghubungi abangnya itu selepas dimaklumkan kawasan penempatan Abuy Zyad telah dibom.

“Saya adik Abuy Zyad tinggal di Indonesia. Saya hubungi Abuy Zyad dari kelmarin tidak jawab, saya dengar dari kawan saya ada bom dekat rumah Abuy Zyad.

“Apa yang kita semua boleh bantu dia sekarang doa sahaja. Saya berharap kepada Allah tidak ada hal buruk yang terjadi kepadanya dan keluarganya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI