fbpx

Koleksi busana Mah Meri beri nafas baharu fesyen Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Koleksi 'Mah Meri x Anuar Faizal x Keretapi Sarong’ dipersembahkan dalam pertunjukan fesyen di MITEC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PEREKA fesyen merupakan kerjaya yang memerlukan seseorang untuk sentiasa bereksperimen dengan pelbagai gaya baharu yang bukan saja cantik, tetapi turut menyerlahkan budaya sesuatu kaum.

Begitupun, dalam keseronokan menghasilkan fesyen baharu penuh inovasi, pakaian yang dihasilkan tidak seharusnya mempersendakan tradisi turun-temurun sesuatu kaum memandangkan ia sesuatu yang sensitif.

Pereka fesyen terkenal, Anuar Faizal baru-baru ini melancarkan satu koleksi terbaharunya dikenali sebagai ‘Mah Meri x Anuar Faizal x Keretapi Sarong’.

Menerusi koleksi itu, Anuar telah memperkenalkan seleksi busana yang turut menampilkan pakaian lelaki dan wanita yang digayakan bersama topeng semangat suku kaum Orang Asli Mah Meri pada pertunjukan fesyen di

Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Anuar berkata, inspirasi koleksi baharunya diambil daripada budaya kaum Orang Asli itu sendiri yang telah diiktiraf UNESCO, selain mahu memartabatkan kaum Mah Meri yang semakin terpinggir dan hidup dalam keadaan kekurangan.

Jelasnya, pertunjukan fesyen yang dihadiri ramai pempengaruh itu juga sekali gus dapat membuka mata pelbagai pihak tentang kewujudan kaum peribumi tersebut selain dapat menyebar ilmu dan juga maklumat.

“Sebagai penggiat seni, ini sangat penting untuk mengangkat kesedaran masyarakat tempatan supaya budaya serta kraf Mah Meri dapat dikenal kembali dan tidak pupus ditelan zaman.

“Mungkin segelintir pihak berasa sensitif apabila sesuatu budaya itu diberi suntikan fesyen. Namun, mereka harus akui usaha seperti ini adalah penting untuk menjana ekonomi mereka dalam arus pemodenan,” katanya.

Anuar menambah, menerusi koleksi yang diperkenalkan itu, ia juga mampu memberi nafas baharu kepada keunikan sesuatu budaya.

“Budaya yang semakin pupus itu diberi nafas baharu tanpa melanggar sebarang pantang larang. Jika dilihat, Orang Asli sulit untuk mendapatkan akses ke peradaban yang lebih maju, bahkan mereka juga kurang menikmati teknologi yang ada saat ini,” jelasnya.

Hadirin terpesona dengan koleksi yang diperagakan.

Anuar berharap pertunjukan fesyen itu dapat membuka mata tentang nilai seni budaya Mah Meri dan dapat membantu mereka menjana ekonomi.

“Sebagai seniman kita harus buat sesuatu yang boleh mengangkat harkat dan martabat saudara kita sendiri di samping memberikan pengetahuan tentang seni dan budaya. Lebih-lebih yang luar biasa dan jarang dilihat serta diketahui masyarakat moden.

“Saya juga ingin membantu ekonomi mereka dengan mempamerkan produk buatan Orang Asli dengan sentuhan komersial di atas pentas fesyen yang besar supaya dikenali masyarakat kita dan dunia antarabangsa,” katanya.

Anuar berkata, penganjuran acara fesyen itu mempunyai objektif jangka panjang untuk memastikan perpaduan kaum serta kelestarian seni dan budaya mampu berdaya saing dan terpelihara.

“Idea koleksi telah lama dibuat saya dan pihak Mah Meri sejak 2021 apabila kami berkolaborasi mencipta adi busana berasaskan mengkuang bagi satu acara gabungan tiga badan korporat iaitu CIMB, Cendana dan Yayasan Hasanah.

“Rekaan itu turut dipamerkan di pentas antarabangsa di Vietnam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI