fbpx

Kesan lebam pada kepala mangsa akibat terjatuh dalam mesin basuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Terdapat kesan lebam pada bahagian kiri kepala kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam mesin basuh pakaian di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan di sini semalam.

Mangsa, Faris Mikail Muhamad Faez ditemukan neneknya sendiri dalam mesin basuh muatan 12 kilogram (kg) yang sedang beroperasi.

Kejadian dikatakan berlaku apabila Faris Mikail yang juga kanak-kanak autisme itu memanjat mesin basuh berkenaan sebelum terjatuh hingga mengakibatkan kepalanya terhantuk pada dinding mesin tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian, air baru disalurkan masuk ke dalam mesin basuh berkenaan dan terdapat pakaian di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ketika dijumpai neneknya pada pukul 9.30 pagi, mesin basuh tersebut telah pun berhenti operasi.

Katanya, ketika kejadian ahli keluarga lain kanak-kanak itu sedang tidur.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri segera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menaiki ambulans.

“Bantuan pernafasan (CPR) diberikan kepada kanak-kanak itu oleh petugas perubatan namun tidak menunjukkan tanda positif sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.02 pagi,” katanya di sini hari ini.

“Jenazah kanak-kanak itu telah dituntut keluarganya dan dikebumikan di Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI