fbpx

Bawa rokok seludup guna Toyota Alphard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAZALI (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas dalam empat serbuan berasingan sejak Jun lalu. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis rokok dari Vietnam yang diseludup masuk melalui perairan Pantai Timur negara berjumlah hampir RM8.8 juta dalam empat operasi berasingan sejak Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sazali Mohamad berkata, sebanyak 11,754,000 batang rokok bernilai RM8,792,193 telah dirampas hasil pemeriksaan masing-masing ke atas sebuah kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) jenis Alphard dan tiga buah lori.

Katanya, serbuan pertama telah dilakukan pada 27 Jun lalu melibatkan Toyota Alphard yang dikesan membawa 160,000 batang rokok yang bernilai termasuk cukai RM119,880.

“Rampasan seterusnya dibuat ke atas tiga buah lori masing-masing pada 30 Ogos, 5 September dan 30 September di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Lebuh Raya Segamat-Kuantan, stesen minyak di Keratong, Pahang serta RnR Jejantas Ayer Keroh dekat sini.

“Ketiga-tiga lori ini menyumbat 11,594,000 batang rokok pelbagai jenis dengan dua daripada kes ini menggunakan modus operandi membalut kesemua muatan menggunakan plastik hitam,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Kastam Melaka di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu, dua lelaki berusia 40-an yang merupakan pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua rokok yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Vietnam melalui perairan Pantai Timur negara.

“Rokok-rokok ini dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding rokok biasa dengan harga cuma sekitar RM6 sekotak dan pasaran mereka adalah kawasan-kawasan rumah kongsi pekerja buruh.

“Semakan lanjut ke atas lori terlibat juga mendapati nombor plat dipamerkan adalah palsu bagi mengelakkan mereka dikesan pihak kastam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sazali berkata, JKDM turut merampas minuman keras sebanyak 33,420 liter bernilai RM1.48 juta menerusi dua serbuan masing-masing di sebuah gudang di Kuala Lumpur dan kontena di Pelabuhan Klang yang didaftarkan membawa barangan khemah pada 1 September serta 2 Oktober lalu.

Jelasnya, selain rokok dan minuman keras, pasukannya berjaya mengesan dan merampas beras seludup daripada Bangladesh seberat 11,940 kilogram bernilai RM33,432 yang didaftarkan sebagai bahan-bahan rempah ratus pada 3 April lalu.

Katanya, kesemua kes itu disiasat mengikut 135(1)(a)/(d)/(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI