SHAH ALAM – “Jangan fikir sudah bagus, kalau bagus, tak perlu masuk pertandingan”.
Demikian antara peringatan juri tetap program Famili Duo musim tiga (FD3), Mas Idayu yang berharap enam pasangan peserta program pertandingan nyanyian kekeluargaan itu berjiwa lebih kental.
Kata penyanyi dangdut itu, sebagai juri, sebarang komen atau ulasan kepada setiap persembahan adalah bersandarkan pengalaman, sekali gus usaha mahu membantu peserta memperbaiki kelemahan.
“Kalau tidak boleh terima kritikan, baik duduk di rumah sahaja dan buat persembahan apabila ada orang panggil.
“Sepanjang 35 tahun saya sudah lalui macam-macam. Jadi, kalau kami beri komen, semuanya berdasarkan pengalaman.
“Tidak kiralah juri bagus atau tidak, peserta perlu dengar kerana markah di tangan juri,” katanya selepas konsert minggu pertama FD3 di Studio Glenmarie, malam semalam.
Begitupun, akui pemilik nama sebenar Masidayu Mesnun, 51, itu,
bagi edisi kali ini dia mahu mengubah karakter kepada lemah lembut ketika memberikan ulasan persembahan bagi mengelak insiden peserta menangis berulang.
Katanya, buat masa ini dia masih berusaha mengekalkan sikap bertenang dan berhemah dalam melontarkan komen biarpun berasa janggal tidak menjadi diri sendiri.
“Saya cuba sebenarnya, tapi macam tak jadi. Apabila saya mahu lemah lembut, saya nampak macam orang lain sikit.
“Di depan saya, semuanya adik-adik saya jadi saya cuba supaya tidak jadi seperti tahun lalu. Saya mahu tidak terlalu ketara (ketika memberi komen) sehingga ada yang menangis.
“Saya tahu bukan semua orang boleh terima kritikan pedas. Ada yang boleh dan ada yang tidak boleh,” katanya.
Selain Mas Idayu, FD3 yang menyaksikan persaingan enam pasangan membabitkan adik-beradik, suami isteri dan pertalian kekeluagaan tersebut turut menampilkan Ajai sebagai juri.
Pada masa sama, penyanyi Robek Hatiku tidak menolak kemungkinan akan kembali bertegas bagi memastikan setiap peserta memberikan persembahan terbaik.
Katanya, pendekatan yang telah digunakan pada edisi terdahulu hakikatnya lebih meningggalkan impak seandainya peserta tidak mengikuti nasihat dan tips daripada juri.
“Jika saya jadi diri sendiri, itu lebih baik untuk mereka tapi kalau saya tidak jadi seperti itu, takut mereka pula yang tidak dapat pendedahan sepatutnya.
“Kita tengok macam mana. Kalau mereka masih main-main, tiada perubahan, mungkin saya akan jadi diri saya semula. Hilang juga sabar kalau masih mahu perbaiki kekurangan,” katanya.
Menurut penghibur yang pernah duduk di kerusi juri D’ Academy Asia, setiap teguran serta kritikan juri adalah berdasarkan pengalaman sepanjang berkecimpung dalam industri seni.
Semua itu akuinya dikongsikan demi kebaikan peserta yang tentu saja menjadi platform terbaik mendapatkan ilmu mempertingkatkan prestasi.
FD3 edisi kali ini disertai Shila Amzah dan Syahir Amzah, Adira Suhaimi bersama Emma Suhaimi, Syaiful dan Sharif Zero, serta pempengaruh media sosial, Ryan Bakery yang bergandingan dengan adiknya, Adam Bakery.
Duo lain yang turut bersaing merebut hadiah utama sebanyak RM100,000 adalah saudara sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran serta pasangan suami isteri, Fuad Rahman dan Tom. – KOSMO! ONLINE