fbpx

Ipoh bakal jadi bandar raya pertama Asia guna sistem Thermowaste

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambaran loji Thermowaste yang bakal dibina di Ipoh.

IPOH – Bandar raya ini bakal menjadi yang pertama di Asia menggunakan sistem Thermowaste setelah loji pembinaannya siap kelak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sistem itu adalah konsep baharu yang mana matlamatnya adalah untuk memberi kegunaan tambahan kepada semua sisa dengan mengitar semula dan mengasingkan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat dan mudah selari dengan konsep ekonomi donut yang menekankan konsep ekonomi kitaran.

“Selesai pembinaan loji ini, Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia yang mengitar semula 100 peratus sisa menggunakan teknologi tersebut. Ia adalah teknologi mesra alam kerana ia tidak menghasilkan pencemaran.

“Asas cara teknologi ini berfungsi adalah melalui proses pensterilan dan proses pembersihan yang mana haba, wap dan tekanan dikenakan ke atas sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan sebelumnya,” katanya di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MBI bersama syarikat Ultivictory Sdn. Bhd. untuk membaik pulih projek sakit di Kawasan Perindustrian Pengkalan di sini.

MBI turut memeterai MoU dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi Kajian Sejarah dan Morfologi Bandar serta penempatan awal masyarakat Melayu di Ipoh.

Rumaizi turut menjadi saksi MoU antara syarikat Mancuso Energy Sdn. Bhd. dan Syarikat Selekta Spectra Sdn. Bhd. bagi kajian kemungkinan untuk pemasangan sistem Thermowaste di tapak pelupusan sanitari milik MBI.

Dalam pada itu, beliau berkata, tapak di Kawasan Perindustrian Pengkalan seluas kira-kira 48.6 hektar telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri kepada MBI sebagai tapak perusahaan.

“Seluas lebih kurang 46.273 hektar telah dimajukan oleh pihak pemaju dengan pelbagai jenis pembangunan perusahaan. Terdapat baki tiga lot lagi yang merupakan bahagian terakhir yang masih belum dibangunkan iaitu seluas lebih kurang 2.29 hektar.

“Tapak tersebut berpotensi untuk pembangunan perusahaan bercampur Industri Kecil Serderhana (IKS) dengan usahasama pihak swasta. Dengan adanya MOU ini, adalah diharapkan Kawasan Perindustrian Pengkalan yang terbiar dapat diusahakan dan dimajukan dengan usahasama pihak swasta untuk pembangunan Ipoh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI