HASRAT Malaysia untuk memintas kedudukan Filipina dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya menjadi kenyataan setelah menunggu hampir 12 tahun.
Skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon berjaya mencatat kemenangan bermakna ke atas pasukan di rangking ke-102 dunia iaitu India baru-baru ini dengan keputusan 4-2, sekali gus memperoleh tambahan +6.04 mata FIFA.
Terdahulu, skuad Harimau Malaya telah mencatat unjuran positif apabila mengutip tambahan +3.33 mata untuk menjadikan jumlah keseluruhan 1,094.9 mata bagi aksi persahabatan pada September lepas.
Kemenangan ke atas India membolehkan skuad negara kekal di ranking 134 selepas mengumpul sejumlah 1,100.94, pada masa sama berjaya memintas Filipina yang jatuh di ranking ke-135 dengan mengutip 1099.29 mata.
Selepas berjaya menjadi juara Asia Tenggara ketika menjulang Piala AFF pada tahun 2010, Malaysia masih gagal menunjukkan konsistensi dalam rangking FIFA bahkan jauh ketinggalan oleh Filipina, Vietnam dan Thailand.
Kali terakhir Malaysia berada di kedudukan FIFA lebih baik berbanding skuad The Azkals ialah pada tahun 2011 iaitu ke-148 dunia, manakala Filipina di tangga ke-159 dunia.
Malam ini, skuad Harimau Malaya akan berdepan Tajikistan pada perlawanan final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan status di tempat ketiga di Asia Tenggara di belakang Vietnam (ke-95 dunia) dan Thailand (ke-112 dunia). – KOSMO! ONLINE