OSLO – Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang kekal bersatu untuk bangkit mengesahkan slot ke pusingan akhir saingan Euro 2024 di Jerman.
Selepas dipalit kekalahan kepada Scotland pada perlawanan kedua, La Roja mula menyerlahkan kualiti sebenar dan kemenangan 1-0 ke atas Norway awal pagi semalam sudah memadai untuk menoktahkan pemburuan slot ke saingan tersebut.
“Kami masih ingat apa yang kami pernah lalui pada aksi terdahulu. Segala isu dan permasalahan sudah pun diperbetulkan, tetapi skripnya masih lagi sama.
“Kami sudah tunjukkan yang kami kekal bersama. Kemaraan adalah satu kewajiban dan tanggungjawab yang kami perlu lunaskan,” katanya.
Pada perlawanan semalam, bintang muda Barcelona, Gavi muncul wira Sepanyol dengan menyumbangkan gol tunggal perlawanan dan kini hanya bersaing bersama Scotland untuk menentukan juara Kumpulan A.
Bulan depan Sepanyol bakal lengkapkan dua lagi baki perlawanan bermula dengan kunjungan ke Cyprus dan menerima kunjungan Georgia. – AGENSI