KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim mempersoalkan mengapa begitu ramai jurukamera digunakan ketika Parlimen sedang berlangsung.
Shahidan mempersoalkan atas arahan siapa jurugambar-jurugambar tersebut dibenarkan masuk ke dalam dewan dan mengambil gambar ketika Ahli-ahli Parlimen sedang bersidang.
“Kita tidur sikit pun ambil gambar, bagaimana ini Yang Berhormat? Arahan siapa? Ada yang daripada kementerian, daripada JPN (Jabatan Penerangan Negara), dulu tidak pernah ambil gambar,” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Shahidan diarahkan duduk oleh Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kerana dikatakan membazir masa mempersoalkan hal tersebut.
Shahidan berkata demikian ketika membuat usul cadangan berhubung peraturan yang dicadangkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkenaan penggunaan gajet semasa berlangsungnya perbentangan di Dewan Rakyat.
Shahidan semalam tidak bersetuju dengan arahan tersebut selain mempersoalkan apakah yang diklasifikasikan sebagai peranti dan kaitannya dengan Peraturan Mesyuarat 35(1).
“Saya minta peranti boleh digunakan tetapi menghadap kepada speaker, kalau tidak peraturan ini yang pertama sekali dipakai dalam dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE