MELAKA – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh ditahan dipercayai memperkosa remaja perempuan berusia 16 tahun kononnya untuk membuang ‘pendamping’ atau makhlus halus pada tubuh mangsa sejak Ogos lalu.
Suspek berusia 50 tahun diberkas pada pukul 4.30 pagi di sebuah pusat latihan Muay Thai di Batu Berendam di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejadian awal berlaku pada Ogos lalu apabila suspek muncul di kedai makan ibu saudara mangsa di Batu Berendam.
Lelaki itu mendakwa premis berkenaan mengalami gangguan sihir dan ingin membantu membuang ilmu hitam tersebut.
Ujarnya, suspek kemudian datang ke rumah keluarga itu di Batu Berendam pada pukul 12 tengah malam, 25 Ogos lalu dan membawa remaja terbabit bersama ibu serta bapa saudaranya ke Malim untuk berubat.
“Suspek menyuruh ibu serta bapa saudara mangsa keluar membeli makanan dan meminta meninggalkan remaja itu bersamanya di kawasan semak.
“Suspek kemudian merogol mangsa dan memberi amaran kepada remaja itu supaya tidak memberitahu sesiapa. Oleh kerana takut, mangsa tidak memberitahu sesiapa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, semenjak kejadian itu, suspek kerap datang ke rumah mangsa dengan alasan untuk mengubati remaja tersebut yang didakwa mempunyai pendamping.
“Pada awalnya suspek datang ke rumah untuk mengubati si ibu saudara, namun setelah melihat mangsa suspek berdalih beritahu ingin merawat remaja berkenaan yang didakwa mempunyai pendamping.
“Mangsa memaklumkan dia dirogol sebanyak empat kali di lokasi berbeza sejak Ogos hingga bulan ini. Dia hanya tampil membuat laporan polis semalam selepas takut dengan kejadian yang menimpa dirinya,” ujarnya.
Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Suspek pula ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE.