NEW DELHI – Sebuah mahkamah di India membebaskan dua lelaki yang dipenjara bertahun-tahun dan menunggu masa untuk menjalani hukuman mati atas tuduhan merogol serta membunuh 19 wanita dan kanak-kanak pada 2005, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Surinder Koli dan majikannya yang merupakan ahli perniagaan, Moninder Singh Pandher didapati bersalah pada 2009 dalam kes yang mengejutkan India itu serta digelar sebagai ‘pembunuhan Nithari’.
Kedua-dua ditahan pada 2006 selepas banyak bahagian mayat yang dikerat-kerat ditemui berhampiran rumah mereka dekat New Delhi.
Semalam Mahkamah Tinggi Allahabad membebaskan Surinder membabitkan 12 kes di mana dia sebelum ini dijatuhi hukuman mati. Mahkamah sama mengarahkan supaya Moninder juga dibebaskan.
Kedua-dua lelaki itu dibebaskan kerana kekurangan bukti, demikian menurut peguam mereka kepada media.
Kes pembunuhan Nithari menjadi perhatian pada 2006 selepas beberapa bahagian mayat yang dikerat serta pakaian kanak-kanak ditemui di dalam pembetung di hadapan rumah Moninder.
Sekurang-kurangya 19 gadis dan kanak-kanak dirogol, dibunuh dan mayat mereka dikerat-kerat. Polis ketika itu percaya pembunuhan berlaku di dalam rumah Moninder di mana Surinder bekerja sebagai pembantu rumah.
Pembunuhan itu mencetuskan kecaman di seluruh negara dengan orang ramai menuduh polis sebagai cuai kerana gagal bertindak disebabkan kebanyakan mangsa berasal daripada keluarga miskin.
Mereka tinggal di kawasan setinggan berdekatan dinamakan sebagai Nithari. – AGENSI