PEMAIN e-Sukan Pahang, Mohamad Azrudin Yaacob mahu melebarkan kariernya lebih tinggi selepas menjuarai eFootball Liga e-Sukan Malaysia 2023 (MEL2023) peringkat kebangsaan.
Azrudin dengan nama permainan AZRDN7XGAMING, dinobat juara MEL2023 selepas menewaskan Nathanael Anak Janting (Nathan) dari Johor pada final di Esports Integrated (ESI) Hub di Spacerubix, Puchong kelmarin.
“Syukur dan gembira dengan kejayaan ini. Saya bangga kerana tidak sangka capai sehingga ke tahap ini. Saya harap kejayaan ini membanggakan keluarga, kawan-kawan dan semua penyokong.
“Kalau ada kejohanan lain, saya akan cuba memenanginya. Bukan mudah untuk berada di sini bermula daripada pemilihan di Pahang hingga menang peringkat kebangsaan,” katanya.
Tempat ketiga eFootball milik Riefs Gaming dari Perlis, manakala Nathan mengubati kekecewaannya tewas pada final apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.
Pasukan Sem9 dari Kuala Lumpur dianggotai MVP kejohanan iaitu Mohamad Insaf Tamsil Suhardi dibantu Azim Haris Mohd. Puhatdi, Mohamad Rezza Shah Mohd. Azmi dan Muhammad Hafiz Samsul menjuarai kategori PUBG Mobile.
Naib juara menjadi milik pasukan Sem9 Reject dari Negeri Sembilan, manakala Yoodo Alliance mewakili Selangor menamatkan saingan PUBG Mobile di kedudukan ketiga.
Sebagai rekod, MEL2023 adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke arah membina ekosistem sukan elektronik yang mampan dan inklusif, selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS.
Edisi ketiga tahun ini menampilkan tiga judul permainan di peringkat kebangsaan iaitu PUBG Mobile, eFootball dan Mobile Legends:Bang Bang (MLBB) yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.