JOHOR BAHRU – Polis Johor akan mengadakan sesi dialog bersama pengurusan pusat beli-belah dan hotel-hotel utama di negeri ini ekoran dakwaan ancaman bom, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dialog tersebut bertujuan meningkatkan aspek keselamatan premis-premis terlibat.
“Keadaan sudah tenang jadi kita tak perlu panaskan lagi keadaan, yang penting kita ambil langkah pencegahan untuk tingkatkan aspek keselamatan termasuk memanfaatkan litar kamera tertutup (CCTV) yang terdapat di premis-premis.
“Kita akan adakan sesi perbincangan dengan pihak pengurusan pusat beli-belah dan hotel-hotel di negeri ini. Tujuannya adalah untuk kemas kini elemen keselamatan yang boleh dipraktikkan di premis masing-masing,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampai Sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor di sini hari ini.
Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan kawalan terutama di lokasi tumpuan melalui peningkatan tahap ‘omnipresence’.
Sabtu lalu, pusat beli-belah Mid Valley Southkey dan Hotel St. Giles Southkey mengarahkan lebih 9,000 pengunjung dan pekerja mengosongkan bangunan terbabit ekoran dakwaan menerima ancaman bom. – KOSMO! ONLINE