fbpx

Keluarga renjer dibaham harimau terima pencen penakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syahira (dua dari kanan) menerima kunjungan rombongan pihak Perkeso ke rumahnya di Pos Pasik, Gua Musang semalam. -Foto PERKESO

GUA MUSANG – Waris lelaki Orang Asli suku kaum Temiar yang maut dibaham harimau belang di Pos Pasik di sini dua minggu lalu menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM918.75 bermula bulan ini.

Jumlah pencen tersebut diberikan kepada tiga waris mangsa, Pisie Amud, 25, iaitu isterinya, Syahira Hamid, 20, dan dua anak pasangan itu iaitu Nur Haura, 1, dan Finka, 2.

Pengurus Pejabat Perkeso Kuala Krai, Mohd. Azran Che Nuri berkata, selain pencen bulanan, waris mangsa turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Katanya, pencen penakat yang dibayar secara bulanan itu diberikan berikutan mangsa sebelum ini bekerja sebagai Renjer Komuniti (Pelindung) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan mencarum Perkeso.

“Isteri mangsa layak menerima faedah itu seumur hidup manakala anak-anaknya layak sehingga mereka berusia 21 tahun atau berkahwin mana yang lebih awal.

“Kami berharap pencen penakat ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Orang Berinsuran untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Azran memberitahu, dia berharap Orang Asli yang bekerja di bawah 20 sektor pekerjaan agar berdaftar dengan Skim Pekerjaaan Sendiri (SPS) di bawah SPS Pandanan Caruman.

Katanya, orang bekerja sendiri (OBS) hanya perlu membayar 20 peratus iaitu RM46.60 daripada kadar caruman sebanyak RM232.20 sahaja.

Sementara itu, Syahira sebak selepas menerima manfaat bantuan daripada Perkeso itu dan akan menggunakan wang berkenaan sebaik mungkin bagi menyara dua anaknya yang masih kecil.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI