SEREMBAN – Seorang wanita buntu memikirkan masa depan anak tunggalnya selepas penyakit asma yang dihidapi sejak 2004 semakin kronik selain nafas kerap berhenti ketika tidur sekali gus menyukarkannya untuk bekerja menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Halilah Md. Daud, 41, berkata, setiap hari dia terpaksa tidur dalam keadaan bersandar dan tidak dapat melelapkan mata disebabkan masalah pernafasan yang akan berhenti secara tiba-tiba.
Menurut wanita itu, dia dimasukkan ke Hospital Rembau pada 22 September lalu disebabkan masalah pernafasan yang tidak normal sebelum didiagnosis menghidap Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu gangguan pernafasan ketika tidur.
“Doktor melakukan ujian tidur untuk menentukan punca OSA dan bentuk rawatan bersesuaian. Buat masa ini saya bergantung dengan inhaler dan mesin penyedut gas.
“Saya masih meneruskan rawatan sampai sekarang,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Widuri Indah, Senawang di sini baru-baru ini.
Cerita wanita itu, penyakit asma dihidapinya bertambah teruk ketika hamil pada 2018 dan kemuncaknya sewaktu fasa Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan keadaan udara atau habuk pada Mac 2020 sehingga sekarang.
Lebih merisaukan, suaminya, Jefri Din Jayakumaran Abdullah, 67, menghidap penyakit jantung kronik dan kerap pengsan menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan untuk menyara anak tunggal, Muhammad Ariff yang berusia lima tahun.
Pasangan itu kini bergantung dengan bantuan asnaf Baitulmal sebanyak RM450 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan.
“Duit itu digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan, bil elektrik dan air. Jika diikutkan tidak cukup kerana kos rawatan kesihatan kami berdua termasuk pengangkutan ke hospital lebih kurang RM1,500 sebulan.
“Malah, sewa rumah juga sudah tertunggak hampir tiga bulan, mujur tuan rumah memahami,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Halilah di talian 011-1143 8547 atau membuat sumbangan menerusi Bank Simpanan Nasional bernombor 0511241000030574.