SELEBRITI media sosial yang juga usahawan terkenal Kylie Jenner kehilangan sehingga lebih sejuta pengikut dalam Instagram gara-gara menyatakan sokongan terhadap kekejaman tentera Israel.
Menurut laporan Unilad, Jenner, 26, yang memiliki sejumlah lebih 400 juta pengikut Instagram telah mengalami penurunan pengikut menjadi 399 juta.
Semuanya terjadi selepas pemilik rangkaian jenama kosmetik, Kylie Cosmetic itu memuat naik hantaran menyuarakan sokongan terhadap Israel apabila mengutuk serangan 5,000 roket oleh kumpulan Hamas pada 8 Oktober lalu.
“Untuk hari ini dan selamanya, saya akan berdiri bersama Israel,” ujar Kylie.
Menyedari telah tersilap langkah, adik kepada Kim Kardashian itu memadam hantaran tersebut sejam kemudian.
Namun, tindakannya sudah terlambat apabila Instagram miliknya terus diserang netizen dan dibanjiri dengan komen ‘Free Palestine’ (Bebaskan Palestin).