fbpx

Shila Amzah, Syahir terganggu teknikal, bukannya keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tampil bersemangat membawakan lagu Menggegar Dunia dalam konsert minggu pertama Famili Duo musim ketiga, persembahan penyanyi Shila Amzah bersama adiknya Syahir Amzah tidak berlangsung seperti yang diharapkan apabila terganggu dek masalah teknikal.

Situasi tidak dijangka yang jarang-jarang berlaku semasa program secara langsung dari Studio Glenmarie tersebut menyaksikan mikrofon Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah tidak berfungsi.

Begitupun juri tetap program, Mas Idayu memuji Syahir yang tetap menunjukkan aksi menyakinkan apabila mampu meneruskan persembahan dengan profesional.

“Walaupun ada masalah teknikal, muka Syahir tak menunjukkan ada situasi berlaku. Begitulah kalau berada di atas pentas. Biar apa pun yang berlaku, begitu sepatutnya.

“Saya harap selepas ini tidak berlaku lagi masalah teknikal kerana kami juri perlu mendengar nyanyian setiap peserta,” katanya ketika memberi ulasan persembahan.

Seorang lagi juri, Ajai juga turut memuji sikap tenang lelaki berusia 28 tahun itu apabila berhadapan isu teknikal.

“Berdasarkan sikap profesional kamu, masalah seperti ini bukan sesuatu yang kita nak berlaku walaupun terjadi di konsert besar. Bila awak dah setuju ikut, tak ada kata mengalah dan teruskan perjuangan,” katanya.

Sementara itu, rata-rata peminat di dalam studio terus memberikan sokongan padu kepada penyanyi Patah Seribu sekaligus menyuntik kekuatan buat mereka.

Malah kehadiran suaminya, Ubai yang juga pempengaruh media sosial di barisan hadapan pentas menyemarakkan lagi semangat.

Selain Shila dan Syahir, pasangan adik beradik lain adalah Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi serta pensohor media sosial, Ryan Bakery dan Adam Bakery.

Antara duo lain yang bertanding adalah suami isteri, Fuad Rahman dan Tom serta saudara sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran.

Program yang menyaksikan enam pasangan duo bakal bersaing selama lapan minggu itu menawarkan RM100,000 bagi juara edisi kali ini.

Cabaran pada Ahad depan bakal menyaksikan peserta membuat persembahan mengikut tema cinta yang dipilih Syaiful dan Sharif selaku juara minggu pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI