fbpx

RM200 juta manifestasi tekad kerajaan pacu pertumbuhan pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mohammed Azman optimis inisiatif direncana kerajaan menerusi Belanjawan 2024 berupaya memacu perubahan struktur yang perlu diharungi negara.

PETALING JAYA – Enam inisiatif dalam Belanjawan 2024 untuk dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencerminkan tekad kerajaan untuk memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, sekaligus me­rungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, rangkaian inisiatif itu selari dengan hala tuju digariskan kerajaan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 yang menyasarkan pewujudan 1.34 juta peluang pekerjaan.

“Penekanan kepada inisiatif peningkatan kemahiran dapat membantu pekerja sedia ada dalam sektor tidak formal dan formal bagi melengkapkan diri dalam menceburi peluang pekerjaan baharu.

“Rangkaian peluang kerjaya baharu ini dijangka wujud sejajar peralihan ekonomi ke arah digita­lisasi, tenaga boleh diperbaharui serta pekerjaaan hijau.

“Justeru, galakan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia dengan menyediakan insentif menerusi suntikan fiskal dalam Belanjawan 2024 bakal menjadi pemangkin ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi yang akan memenuhi permintaan pasaran buruh di Malaysia,” katanya menerusi satu kenya­taan semalam.

Pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu menyaksikan kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta kepada PERKESO. Ia bagi menerajui pelaksanaan inisiatif merangkumi kepentingan memperkasa jaringan perlindu­ngan sosial dan merancakkan pasaran buruh negara.

Berdasarkan semakan terhadap portal MYFutureJobs, Dr. Mohammed Azman berkata, jumlah pencari kerja wanita bagi tempoh antara Januari hingga 6 Oktober lalu adalah seramai 198,751 orang.

Jelasnya, perangkaan ini termasuk pencari kerja wanita yang ingin beralih kepada pekerjaan baharu dan mereka yang sedang menganggur.

“Inisiatif Belanjawan 2024 dapat meningkatkan lagi pembabi­tan wanita dalam pasaran buruh. Ini selari sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita seperti direncana dalam Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Menyentuh komponen memperkasa jaringan perlindungan sosial, Dr. Mohammed Azman berkata, penekanan kerajaan ketika ini terarah kepada sektor ekonomi penjagaan (care economy) dan individu bekerja sendiri, khususnya bagi penggiat industri gig.

Katanya, keputusan menaikkan geran padanan caruman oleh kerajaan kepada 90 peratus, berbanding 80 peratus sebelum ini bakal memberi kelegaan, selain meningkatan pendapatan boleh guna kira-kira 480,000 individu yang berkhidmat di industri dikenali sebagai ekonomi lejang ini.

Beliau menambah, syor kerajaan supaya pengendali platform gig menampung 10 peratus lebihan caruman juga adalah wajar, memandangkan bayaran berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam aspek kelangsungan kebajikan pekerja.

Selain itu, percaturan kerajaan untuk meningkatkan siling gaji diinsuranskan ke paras RM6,000 berbanding RM5,000 adalah tepat kerana ini akan meningkatkan faedah tunai kepada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan tanggungan mereka, sekaligus melindungi kebajikan rakyat.

“Dengan lonjakan peruntukan sebanyak 150 peratus kepada RM50 juta untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), lebih ramai golongan suri rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar dapat dilindungi.

“Berdasarkan pangkalan data e-Kasih setakat Ogos 2023, kita mempunyai lebih 500,000 suri rumah yang menepati kelayakan Geran Caruman SKSSR, dengan 166,666 sudah didaftarkan ke skim ini.

“Sehubungan itu, baki golongan suri rumah lain yang direkodkan dalam pangkalan data e-Kasih akan berpeluang mendapat tajaan caruman, menerusi peruntukan RM50 juta yang diberikan kerajaan.

“Saya yakin, rangkaian inisiatif direncana kerajaan menerusi Belanjawan 2024 berupaya menjadi pemacu perubahan struktur yang perlu kita harungi, terutama selepas pandemik Co­vid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI