fbpx

Richeese Factory sasar 35 outlet baharu 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEE melancarkan pertandingan Fire Chicken Challenge di ibu negara, baru-baru ini.

Richeese Factory yang terkenal dengan jenama produk makanan Nabati, terutamanya Wafer Keju Nabati dari Indonesia telah mula meluaskan sayap pasarannya di negara ini dengan pembukaan restoran makanan segera pertamanya pada bulan Februari lalu.

Syarikat yang memiliki 200 cawangan di negara jiran itu memiliki perancangan yang baik dalam pelan pengembangannya di Malaysia, dengan tawaran kelainan menu pada harga berpatutan.

Pengurus Negara Richeese Factory, Joel Lee berkata, bagi meraikan keberadaan syarikat di Malaysia, pihaknya telah melancarkan pertandingan Fire Chicken Challenge yang menerima penyertaan hampir 400 peserta.

Pertandingan makan ayam dengan tahap kepedasan peringkat tiga untuk pusingan awal, dan ayam dengan kepedasan peringkat lima untuk pusingan akhir telah memberi pulangan lumayan berupa wang tunai dan baucar buat pemenang utamanya iaitu seorang pesara, Lee Chee Wah, 58, dari Negeri Sembilan.

“Maklum balas positif dan sokongan daripada peminat di Malaysia memberi keyakinan kepada kami untuk terus memajukan perniagaan di sini.

“Jenama ayam goreng Fire Chicken kami telah mula mengumpul ramai peminat khususnya dalam kalangan orang muda,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pertandingan tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fire Chicken Challenge anjuran syarikat mendapat sambutan baik pelanggan.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang Richeese Factory?

Lee: Kami mula memasuki pasaran Malaysia pada Februari lalu menerusi outlet pertama di pusat beli-belah 1 Utama, Peta­ling Jaya.

Buat masa ini kami sudah memiliki lapan outlet kebanyakannya di Lembah Klang, selain dua buah cawangan di Seremban Gateway dan Senawang, Negeri Sembilan.

Apa perancangan syarikat untuk tahun depan?

Kami akan buka 35 lagi cawa­ngan baharu tahun depan yang memfokuskan kepada kawasan di selatan, utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Berapakah nilai pelaburan untuk sebuah outlet?

Lebih kurang RM1.5 juta dan dana pengembangan tersebut diperoleh daripada syarikat induk Richeese Factory Indonesia iaitu P.T. Richeese Kuliner Indonesia.

Melihat kepada ekonomi semasa, tidakkah syarikat bimbang berhubung risiko membuka banyak cawangan tahun depan?

Kebimbangan tetap ada, namun kami perlu buat kerana Richeese kini mempunyai banyak pe­langgan, peminat dan soko­ngan di Malaysia.

Jika trend sekarang berterusan, kami akan dapat berkembang maju tanpa perlu menaikkan harga barangan. Kita kena berani menghadapi cabaran ini tanpa perlu mengubah resipi dan masih mengekalkan kualiti perkhidmatan yang sama.

Lee (kiri) bersama pemenang Fire Chicken Challenge yang dimenangi individu berusia 58 tahun.

Adakah syarikat berkembang menggunakan konsep francais?

Kami tidak melakukan francais sebab yakin pada model perniagaan sekarang.

Semuanya adalah dari ibu pejabat dan ini cara kami mengekalkan kuali­ti, bahan masakan yang digunakan, perkhidmatan ditawarkan dan keseluruhan penawaran adalah sama di semua outlet.

Boleh jelaskan tentang menu yang ditawarkan, adakah semuanya pedas?

Lima puluh peratus menu kami adalah pedas dan bakinya untuk mereka yang tidak suka makan pedas. Pelanggan boleh mencuba hida­ngan yang digan­dingkan dengan sos BBQ bermula daripada tahap kepedasan peringkat sifar sehingga peringkat lima iaitu yang paling pedas.

Antara menu istimewa kami adalah Fire Chicken, Fire Flying Chicken, Fire Burger, Fire Wed­ges/French Fries dan juga minuman Pink Lava serta pemanis mulut, Mac & Cheese Ice Cream.

Bagaimana sambutan rak­yat Malaysia terhadap jenama baharu ini?

Prestasinya sangat memuaskan terutamanya daripada orang muda yang mahu mencuba masakan pedas tetapi kami juga memiliki pelbagai pilihan untuk keluarga dan individu.

Satu lagi kelebihan kami adalah harga menu yang ditawarkan adalah berpatutan iaitu sekitar 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada pesaing.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI