fbpx

Pusat tahfiz anak-anak mualaf pertama dibina di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR MOHAMMAD HADI (kiri) memberi penjelasan kepada Adly mengenai pembinaan Akademi Al Bayan yang sedang dibangunkan di Kampung Pegoh, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Sebuah pusat tahfiz khusus buat anak-anak mualaf, Kompleks Akademi Al Bayan sedang dibangunkan di negeri ini, sekali gus menjadi institut pendidikan pertama disediakan buat golongan itu dalam negara.

Pengerusinya, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, kompleks itu dibina di atas tanah wakaf berkeluasan 0.8 hektar di Kampung Pegoh dekat sini dan dijangka menelan belanja sekitar RM16 juta bagi fasa pertama pembinaan.

Jelasnya, institut itu dibina bagi membolehkan anak-anak mualaf mendapat pendidikan agama yang sempurna dan sebagai persiapan melahirkan barisan pendakwah terdiri daripada pelbagai bangsa dalam menyebarkan dakwah secara tuntas.

“Kompleks ini mampu memberikan pendidikan agama kepada 300 anak-anak mualaf dan mereka ini kita sasarkan akan menjadi daie yang menyebarkan ilmu agama menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

“Usaha ini adalah untuk memastikan saudara-saudara baharu kita nanti dapat diberikan penjelasan tentang ilmu agama dengan lebih tuntas dalam bahasa yang mereka fahami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari ke tapak pembinaan akademi itu di sini, semalam.

Tambahnya, kompleks itu juga akan dibina dengan ciri kesenian setiap bangsa dominan dalam negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, pusat pengajian berkenaan telah memperolehi kelulusan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk mengutip sumbangan orang ramai sebanyak RM25 juta bagi pembinaan infrastruktur.

“Kompleks ini akan dilengkapi dengan 33 buah bilik termasuk kelas mengajar dan dewan patuh syariah. Fasa kedua adalah pembinaan infrastruktur kompleks yang dijangka menelan belanja RM25 juta.

“Kita juga sedang bangunkan silibus-silibus yang bukan sahaja diiktiraf dalam negara, bahkan antarabangsa. Hasrat kita, daie yang dilahirkan nanti juga dapat berdakwah sehingga ke luar negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI