RAMALLAH, Tebing Barat – Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas secara mutlak menolak permintaan Israel yang mahu penduduk Gaza berpindah dari tanah air mereka berikutan rancangan Rejim Zionis mahu melancarkan serangan darat besar-besaran, lapor portal berita RT semalam.
Beliau menegaskan demikian ketika bercakap menerusi panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Sabtu lalu sebelum pejabatnya mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan perbualan mereka.
Biden turut berjanji menyokong usaha Pihak Berkuasa Palestin yang mengawal Tebing Barat untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikuasai oleh Hamas, demikian menurut White House.
Presiden AS itu juga mendakwa bahawa pentadbirannya telah bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir, Jordan dan Israel untuk memastikan bekalan kemanusiaan sampai kepada orang awam di Gaza.
Sebelum ini, Israel berjanji bahawa Gaza tidak akan menerima bekalan elektrik, air atau makanan sehingga semua tebusan yang ditawan oleh Hamas dibebaskan.
Mahmoud juga memberitahu Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bahawa beliau menolak penduduk Gaza dipindahkan dan memberi amaran kepada diplomat negara itu semasa pertemuan pada Jumaat lalu di Amman, Jordan.
Beliau berkata bahawa mematuhi perintah pemindahan penduduk dari utara ke selatan Gaza akan menyamakannya dengan peristiwa pengusiran kira-kira 750,000 penduduk Palestin dari tanah air mereka dari 1947 hingga 1948. – AGENSI