BIARPUN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak meletakkan sebarang sasaran pingat emas, namun MPM percaya barisan atlet para negara mampu melakukan kejutan pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang bakal membuka tirai secara rasmi bermula dari 22 hingga 28 Oktober ini.
Menjelang saingan tersebut, MPM bakal menghantar seramai 113 orang atlet ke Hangzhou dan meletakkan sasaran untuk membawa pulang ke tanah air sekurang-kurang 35 pingat tanpa mengira warna pada temasya sukan benua Asia empat tahun sekali itu.
Bagaimanapun, jumlah tersebut berkurangan daripada apa yang Kontinjen Malaysia peroleh sewaktu di edisi Jakarta 2018 dengan menyaksikan Malaysia membawa pulang 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa dengan jumlah keseluruhan 68 pingat.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, sasaran di Hangzhou dilihat realistik berbanding di Jakarta, Malaysia kehilangan 18 pingat susulan ada sukan ataupun acara tidak dipertandingkan di China kali ini seperti tenpin boling selain persaraan pemenang pingat sebelumnya.
Walaupun begitu, Megat secara peribadi tampil yakin kontinjen bakal dapat meraih jumlah kutipan pingat melepasi sasaran ditetapkan sekiranya berdasarkan pengalaman di temasya sebelum ini.
“Kita mulakan dengan 35 sasaran pingat tanpa warna dan tengok apa akan jadi nanti kerana ada atlet yang boleh membuat kejutan. Kami tak nak kacau momentum itu dan biar mereka mengejutkan kita di sana nanti.
“Secara peribadi, apabila kita nak capai apa yang diraih di Jakarta itu, bagi saya jauh sangat dan mustahil kerana sukan dan atlet yang ada. Namun, untuk saya sendiri, kalau boleh biarlah kita dapat yang terbaik.
“Kalau boleh saya cakap pun saya tak berani nak cakap kerana kalau cakap, takut ia menjadi satu tekanan kepada atlet. Apapun kita akan lakukan yang terbaik dan berikan kita tiga hari di sana dan kamu akan tengok kejutan.
“Itu yang kami nak buat, insya-Allah. Harap semua berikan kami peluang untuk jadikan kejutan,” kata Megat dalam sidang media pengumuman sasaran kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022, semalam.
Kontinjen negara kali ini disertai 113 atlet yang akan menyertai 14 daripada 22 sukan dipertandingkan, membabitkan penyertaan dalam 104 acara daripada 564 acara secara keseluruhan.
Daripada 113 atlet, seramai 54 daripadanya adalah atlet baharu yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan Asia iaitu empat dari para badminton, tiga powerlifting, tiga para ping pong, enam para renang, satu lawan pedang kerusi roda, enam para berbasikal, tujuh para olahraga, tiga boccia, empat bola keranjang kerusi roda, empat para memanah, empat para boling padang dan 10 bola sepak VI.
Secara dasarnya, kontinjen masih mempertaruhkan sumbangan pingat daripada sukan seperti para olahraga, para renang, powerlifting, para badminton, para berbasikal dan para tenis berkerusi roda.