ALOR SETAR – Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan kerana mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dokumen tersebut adalah bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 melibatkan nilai keseluruhan RM231,340.
Tertuduh, Mohd. Yuzri Azhan Md. Yusoff, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mohd. Yuzri sebagai pemilik syarikat Azhken Smart Global didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran palsu kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso Kedah.
Butir matan palsu itu melibatkan seramai 16 pekerja yang dinamakan di dalam borang tersebut, sedangkan mereka bukan pekerja Azhken Smart Global.
Kesalahan dilakukan di Pejabat Perkeso, di sini pada 4 Mei 2021 hingga 21 Ogos 2021. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, bapa empat anak itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda nilai tersebut atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan yang ditawarkan iaitu menggunakan borang berkenaan sebagai tulen di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE