PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Aishah enggan mempedulikan kata-kata negatif yang dilemparkan netizen gara-gara terlalu lantang bersuara dalam media sosial.
Bahkan, Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 58, itu menganggap kelantangannya itu merupakan prinsip hidup untuk memperkatakan sesuatu jika ada yang tidak kena pada mata kasarnya.
“Saya tidak tahu nak kata bagaimana, rasanya saya memang selalu lantang. Ramai orang salah anggap bahawa lantang itu sombong. Tetapi anda lupa lantang itu bermaksud kita ada prinsip. Sebenarnya pada usia begini, saya malas nak bising (kecoh).
“Namun, ada sesuatu disebabkan prinsip saya, maka saya rasa tidak boleh memberi muka dan tetap akan memperkatakan sesuatu,” katanya kepada Kosmo!.
Pelantun lagu Janji Manismu itu memberitahu dia bagaimanapun tidak dapat menghalang orang ramai untuk membenci dirinya sehingga meninggalkan komen jelik kerana itu pendapat peribadi masing-masing.
“Pada usia sekarang jangan ambil sesuatu benda itu terlalu serius. Sudah 38 tahun berada dalam industri, saya tidak perlu buktikan apa-apa. Apa yang saya belajar di media sosial adalah kalau dia haters (pembenci), dia haters. Buatlah macam mana pun dia tetap benci.
“Jika mereka adalah peminat maka mereka akan setia bersama anda. Tak mengapalah kalau saya ada 10 orang sahaja yang minat, saya akan menyanyi pada 10 orang itu,” katanya.
Aishah yang tersingkir pada program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) malam tadi dikritik netizen kerana dilabel sebagai artis ‘banyak bunyi’ dan kerap menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.
Bahkan, Aishah sewaktu tersingkir malam kelmarin mengejutkan ramai pihak apabila memberikan ucapan seolah-olah menyindir doa netizen dikabulkan untuk melihat dia terkeluar daripada program nyanyian tersebut. – KOSMO! ONLINE